BEAUFORT – Seramai 75 orang mangsa banjir Sabah masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi, hari ini.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, bilangan itu melibatkan 25 keluarga yang kini ditempatkan di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, Beaufort.
“Hanya satu PPS di daerah Beaufort sahaja yang masih dibuka setakat pagi ini dengan dua lagi PPS di Sipitang dan Penampang sudah rasmi ditutup sepenuhnya semalam.
“Walaupun jumlah mangsa banjir berkurang sejak semalam namun kita tetap dalam situasi bersiap siaga berikutan keadaan cuaca yang masih tidak menentu ketika ini,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Sementara itu, Jurucakap APM Sabah menasihatkan orang awam diminta segera menghubungi mana-mana agensi keselamatan dengan kadar segera sekiranya memerlukan bantuan untuk berpindah ke lokasi lebih selamat. – K! ONLINE