BULAN lalu apabila bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa kelonggaran membabitkan penerima dua dos vaksin lengkap, sudah pastinya ia khabar yang menggembirakan.
Pelbagai keistimewaan diberikan kepada golongan ini antaranya boleh dine-in di restoran, gunting rambut, basuh kenderaan, berkunjung ke pusat beli-belah dan menunaikan solat berjemaah di masjid.
Bagi penduduk di Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara, mereka dibenarkan rentas daerah.
Mendengar kelonggaran-kelonggaran itu sudah pastinya kumpulan antivaksin tidak senang duduk dengan ‘ganjaran’ yang diberikan kerajaan terhadap penerima dua dos vaksin.
Tidak hairanlah apabila ada segelintir daripada kumpulan antivaksin ini sanggup menyuruh doktor membuat sijil vaksinasi palsu tanpa mereka disuntik dengan menawarkan rasuah.
Sebelum itu, media juga pernah melaporkan ada sijil digital pengesahan individu telah lengkap vaksinasi dicetak dan dikhuatiri akan dijual.
Golongan ini melakukannya kerana mahukan keistimewaan seperti individu yang lengkap vaksinasi, sedangkan mereka enggan disuntik.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Arifin Omar berpendapat, adalah sangat tidak adil kepada mereka yang tidak divaksin, tetapi mahu keistimewaan seperti individu lengkap vaksinasi.
“Apa yang kita bimbang adalah faktor keselamatan yang mana semua orang tahu Covid-19 ini bukan perkara main-main kerana ia mudah berjangkit, apatah lagi terdapat varian baharu seperti Delta. Kita tidak tahu apa lagi varian yang akan datang,” katanya.
Beliau mengakui suntikan vaksin adalah hak seseorang individu sama ada hendak disuntik atau tidak, namun pada waktu yang getir ini, golongan tersebut perlu bersikap rasional kerana ia melibatkan keselamatan sejagat.
Ditanya mengenai individu yang sudah divaksin, tetapi masih dijangkiti, beliau menjawab, vaksin bukan perlindungan sepenuhnya.
“Saya andaikan vaksin ibarat kita memakai tali pinggang dalam kereta, jika berlaku kemalangan, sekurang-kurangnya risiko tidak tercampak keluar dan maut adalah rendah,” katanya.
Pada Rabu lalu, media melaporkan bilangan pesakit di hospital di negeri-negeri dengan liputan penerima dos lengkap melebihi 50 peratus seperti di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Labuan dan Sarawak menunjukkan penurunan.
Ia sekali gus membuktikan keberkesanan pemberian vaksin Covid-19.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga dilaporkan berkata, berdasarkan trend penurunan kemasukan pesakit Covid-19 di Hospital Sungai Buloh adalah sebanyak 53 peratus penurunan dapat dilihat berbanding pada awal Ogos.
Sementara di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pula terdapat penurunan sebanyak 44 peratus bermula awal Ogos selepas sebulan aktiviti vaksinasi dipertingkatkan di Lembah Klang.
Secara peribadi, penulis merasakan tidak kira jenis vaksin sama ada Pfizer, AstraZeneca ataupun Sinovac, kesemuanya adalah vaksin dan ia adalah satu ikhtiar supaya keadaan pulih dan kita semua boleh menjalani kehidupan normal seperti dahulu.
Berdasarkan statistik kes yang dikeluarkan KKM, sehingga 1 September lalu sebanyak 18,762 kes baharu positif dilaporkan yang mana 18,432 kes atau 98.2 peratus adalah dikategorikan tahap satu dan dua.