fbpx

Tata hias santai dengan garapan rona semulajadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BIDIKAN gambar dekorasi dan sudut-sudut menarik yang dikongsi di laman Instagram milik Nik Nur Faeeza Nik Yusoff, 35, memberi ruang buat K2 mengintai ke dalam kediaman jenis banglo setingkat miliknya yang terletak di Kota Bharu, Kelantan.

Memiliki identiti tersendiri, keseluruhan tata hias yang dilakukan pada kediaman berkeluasan lebih 200 meter persegi ini tampak begitu teliti
sehingga penulis menyangka kediaman ini milik sebuah keluarga dari Barat.

Meminati dunia dekorasi dan seni hiasan dalaman, bagi Nik Nur Faeeza, tata hias rumah tidak perlu tertakluk pada peraturan seni hias atau perbandingan antara rumah lain.

Sebaliknya, ia merupakan sebuah cerita tentang diri individu dan keluarga. Bukan sekadar kehidupan, ia juga perlu diolah hingga kena dengan jiwa.

Ruang tamu kediaman Nik Faeezah kelihatan tidak ubah seperti kediaman berkonsepkan farmhouse di Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Mengetengahkan konsep farmhouse, tema itu dipilih selepas Nik Nur Faeeza dan suaminya, Rosli Mohd. Ismali, 37, mahukan sesuatu yang lebih santai.

“Semasa menetap di Kuala Lumpur, rumah kami berkonsepkan kontemporari moden. Mungkin kerana suasana di sana yang sibuk, maka kami lebih cenderung ke arah tema sebegitu.

“Selama lapan tahun di sana, kami mula mencari tema lebih santai. Bagaimanapun, untuk menukar konsep agak mencabar kerana keseluruhan rumah dihias rapi dengan konsep itu.

“Disebabkan itu, hasrat untuk memiliki kediaman bertemakan farmhouse disimpan sehinggalah kami berpindah ke kampung selepas suami mendapat tawaran kerja di luar negara. Pastinya menetap di bandar tanpa suami bukanlah pilihan utama,” katanya.

Mula mempelajari konsep rumah menerusi pembacaan buku hiasan dalaman dan jurnal dalam talian, selain saluran HGTV serta media sosial, Nik Nur Faeeza menyedari dia mula terpaut pada konsep farmhouse.

Selain dekorasi, Nik Faeezah juga pentingkan fungsi ruang dalam kediaman agar ia tidak kelihatan membazir.

“Tema farmhouse mula menjadi bualan setelah pasangan Chip dan Joanna Gaines berjaya menarik perhatian ramai penonton selepas rancangan mereka Fixer Upper melalui saluran HGTV popular.

“Dari situlah, saya banyak belajar tentang dekorasi bertemakan farmhouse kerana kami rasakan ia cukup kena dengan apa yang kami cari iaitu santai, tona warna natural dan tidak terlalu padat,” kongsinya.

Yakin konsep yang dipilihnya itu pasti menjadi inspirasi masyarakat di negara ini, Nik Nur Faeeza kemudian membuka akaun Instagram, Farmhouse & Us bagi mencurahkan segala minat dan berkongsi ilmu buat rakan-rakan di luar sana yang juga meminati konsep serupa.

Jelasnya, dia akan memastikan setiap ruang yang didekorasi mempunyai fungsi tersendiri.

Baginya, agak rugi sekiranya sesuatu ruang itu hanya sedap mata memandang, tetapi tidak mendatangkan manfaat kepada isi rumah.

Warna putih mampu menjadikan keseluruhan ruang tampak lebih luas dan tenang.

“Jujurnya, kami tidak melantik mana-mana pereka hiasan dalaman dan rumah ini dibina menggunakan idea kami sepenuhnya.

“Sudah lama saya meminati hiasan dalaman. Jadi, saya fikir, kalau tidak cuba buat sendiri sekarang, bila lagi saya mahu aplikasi segala ilmu yang dipelajari melalui pembacaan.

“Lakaran saiz rumah, kedudukan setiap ruang dan hiasan dalaman, semuanya kami buat sendiri,” jelasnya.

Menggunakan warna putih dan tona natural sebagai tema kerana mampu menjadikan keseluruhan ruang tampak lebih luas dan tenang, pasangan ini menghabiskan hampir RM80,000 hanya untuk kos hiasan dalaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI