SERDANG – Polis sedang mengesan pemandu Perodua Myvi berwarna kelabu yang memandu melawan arus di Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) menghala ke Putrajaya yang tular di media sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A. Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat anggota Kaunter Pertanyaan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pukul 1.16 tengah hari tadi berkaitan rakaman video memaparkan sebuah kereta yang didapati memandu melawan arus.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati, rakaman video berdurasi 19 saat yang tular itu berlaku sekitar pukul 11 pagi di Lebuh Raya MEX di mana kereta berkenaan melawan arus menghala ke Kuala Lumpur.
“Hasil semakan televisyen litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol MEX Seri Kembangan mendapati kereta itu dipandu berlawan arus bermula dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seri Kembangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, semakan di Plaza Tol Putrajaya dan R&R Seri Kembangan akan dibuat dalam masa terdekat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan usaha mengesan pemandu masih giat dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929