YAN – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mencadangkan penubuhan pasukan khas di peringkat kebangsaan terdiri daripada pakar pelbagai bidang termasuk berkaitan geologi, kejuruteraan serta pemetaan bagi mengenal pasti dan menguruskan kawasan berisiko aliran puing.
Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penubuhan pasukan pakar tersebut membolehkan tindakan dapat dilakukan secara integrasi melibatkan semua agensi terlibat termasuk jabatan di bawah Ketsa dan kementerian lain.
“Saya bercadang untuk mengumpulkan semua pakar dan agensi berkaitan di bawa KeTSA sendiri seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) serta jabatan kementerian lain.
“Ia termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran di bawah Kementerian Sumber Asli; Jabatan Kerja Raya di bawah Kementerian Kerja Raya selain jabatan lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya selepas mendengar taklimat berhubung bencana geologi tersebut di salah satu kawasan terjejas di Titi Hayun di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya berharap tindakan secara integrasi antara semua jabatan selain mendapatkan pandangan pakar dari luar negara dapat memberikan satu penyelesaian terbaik dalam mengenal pasti lebih awal risiko aliran puing atau tanah runtuh bukan sahaja di Gunung Jerai, malah lokasi lain termasuk di Kundasang, Sabah.
“Saya akan membawa cadangan penubuhan pasukan ini kepada Kabinet untuk direalisasikan dalam tempoh terdekat demi kepentingan semua,” ujarnya. – K! ONLINE.