PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri.
Perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 September lalu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, pelantikan itu telah disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Pelantikan ini dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara.
“Ia demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Zuki yang juga Setiausaha Jemaah Menteri berkata, kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Muhyiddin atas pelantikan tersebut. -K! ONLINE.