PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedia menjalankan tugas sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri secara sukarela tanpa sebarang imbuhan.
Jelas Ahli Parlimen Pagoh itu, beliau dan anggota MPN akan berperanan membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan membawa Malaysia melalui fasa pemulihan seperti digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Jelas Muhyiddin, ia termasuk menyokong pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), memudah cara pembukaan sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan serta mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu kehidupan selaras peralihan pengurusan Covid-19 yang bakal memasuki fasa endemik.
“Saya berbesar hati menerima pelantikan ini dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.
“Kepercayaan diberikan kerajaan ini suatu amanah untuk saya meneruskan segala usaha dan perancangan dimulakan sebelum ini untuk memulihkan negara daripada kesan wabak COVID-19” katanya dalam satu kenyataan, di Facebooknya hari ini.
Tambah Muhyiddin, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Jemaah Menteri, khususnya Perdana Menteri atas pelantikannya.
Beliau turut berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memperkenankan pelantikannya.
“Insya-Allah, saya akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup serta memulihkan negara akan mencapai kejayaan,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929