Oleh MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID
PARIT – Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sedia membantu kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi kepada pelajar sekolah di seluruh negara.
Agensi itu boleh bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya diminta memandangkan sesi persekolahan secara bersemuka akan dibuka pada 3 Oktober ini.
Pengerusinya, Datuk Mohd. Nizar Zakaria berkata, agensi itu sebelum ini telah bekerjasama dengan beberapa pihak dalam melaksanakan program vaksinasi.
“Kita sudah membantu program vaksinasi di Klinik Nur Sejahtera di Seremban, Negeri Sembilan yang dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) dan program outreach di seluruh negara sejak Julai lalu.
“Sehingga kini kira-kira 25,000 orang telah menerima vaksin di bawah program vaksinasi yang dikendalikan oleh LPPKN seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Belanja Outreach Vaksin Covid-19 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit di sini yang membabitkan 538 orang penerima. -K! ONLINE.