JAGUH badminton negara, Cheah Liek Hou menceriakan kontinjen negara apabila melangkah ke final acara badminton perseorangan lelaki kategori SU5 selepas berjaya mengatasi pemain muda dari Taiwan, Fang Jen Yu.
Pada saingan tersebut, Liek Hou dipaksa bermandi peluh selepas diberi tentangan sengit oleh Jen Yu apabila tewas pada set pertama 15-21 dalam tempoh 47 minit.
Tersentak dengan keputusan tersebut, Liek Hou dilihat tidak berputus asa sebelum bangkit mencatat kemenangan pada set kedua 21-10 dalam tempoh 14 minit.
Liek Hou yang merupakan juara dunia enam kali terus mengekalkan momentum terbaiknya itu sebelum mencatat kemenangan di set tiga 21-16 ke atas pemain berusia 22 tahun tersebut.
Hasil kemenangan itu, Liek Hou bakal berdepan cabaran sengit yang juga seterunya dari Indonesia, Dheva Anrismusth petang ini bagi menentukan pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020. – K! ONLINE.