SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berusia 56 tahun meninggal dunia selepas rebah di pasar pagi Tikam Batu dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa dikatakan terjatuh dan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 10 pagi sebelum orang awam menghubungi hospital.
Katanya, mangsa yang berasal dari Taman Seri Jenaris Tikam Batu kemudiannya disahkan telah meninggal dunia.
“Hasil temubual polis dengan isteri mangsa di tempat kejadian mendapati mangsa menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, tindakan sanitasi mayat dilakukan dan hasil siasatan pada tubuh mangsa mendapati tiada kesan lebam atau luka yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – K! ONLINE