JOHOR BAHRU – Dianggarkan lebih 1.39 juta penduduk di negeri ini sudah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, mengikut statistik itu, lebih 2.2 juta sudah menerima dos pertama iaitu sudah mencapai 82.0 peratus.
“Statistik individu yang lengkap menerima suntikan vaksin sudah mencapai 51.5 peratus. Bagi mencapai sasaran pertengahan September lengkap dos pertama, inisiatif vaksinasi ‘walk-in’ telah dimulakan pada pertengahan bulan lalu.
“Ini dilakukan melalui program-program Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mobile, bagi memberi ruang kepada warga tempatan yang masih belum mendaftar melalui MySejahtera, khususnya di lokasi pedalaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Vidyananthan berkata, inisiatif vaksinasi ‘walk-in’ akan diperluaskan di negeri ini dan daerah yang dipilih sudah dapat memenuhi sasaran vaksin warga tempatan yang berdaftar dalam MySejahtera.
Jelasnya, pemberian vaksin secara ‘walk-in’ ini membabitkan PPV di Kulai, Segamat, Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kluang dan Mersing dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
“Dianggarkan sebanyak 21 PPV di semua daerah tersebut akan terlibat pemberian vaksin secara ‘walk in’ mengikut tarikh ditetapkan.
“Selepas itu, barulah kita akan dibuka sepenuhnya program Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada warga asing dalam industri,” katanya.
Jelasnya, peluang ini juga dibuka kepada sesiapa yang telah tercicir mendapatkan dos kedua, atas sebab-sebab tertentu.
Tambahnya, mereka ini akan diberikan janji temu baharu sekiranya jenis vaksin yang ditawarkan tidak sama dengan dos 1 yang diambil.
“PICK yang dilancarkan di Johor pada 1 Mac 2021, kini telah sampai ke fasa akhir. Objektif utama program PICK untuk menghasilkan tahap imuniti berkelompok dalam kalangan penduduk dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang dianggarkan seramai 2.71 juta orang di Johor.
“Sasaran ini dijangka akan dicapai pada penghujung Oktober. Bagi tujuan tersebut juga, suntikan dos pertama harus mencapai 100 peratus menjelang pertengahan bulan ini,” katanya.-K! ONLINE.