fbpx

Didi Astilah pasrah tanpa populariti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DIDI ASTILAH

BERBANDING kakaknya Bella Astillah yang saban waktu meledak dengan kisah peribadi, nama Didi Astillah sebaliknya mendatar.

Tiada isu sensasi yang perlu diasak jawapan, tiada juga catatan karier yang boleh dijulang.

Bergelar anak seni sejak berumur tiga tahun sebagai pelakon, namun kehadirannya bagaikan ada dalam tiada.

Mengakui rentak perlahan kariernya, situasi tersebut bagaimanapun bukan penghalang untuk Didi terus mencorakkan kanvas seni yang dijalani sejak dahulu.

Bagi Didi, dia tahu dan sedar graf perjalanan tidaklah sentiasa berada di atas atau sepatutnya mencanak sepanjang masa, namun tidak pula terus-menerus di bawah.

Membuka bicara bersama HibGlam baru-baru ini, Didi yang tidak lekang dengan gelak tawa mengakui bersyukur dengan segala apa yang dimilikinya kini.

“Nak bercerita tentang perjalanan seni dan karier saya sebagai pelakon dan penyanyi, sebenarnya tidak ada apa sangat yang boleh dibanggakan.

“Tapi, alhamdulillah, saya bersyukur dan terbuka hati sahaja menerima apa yang dikurniakan Dia buat saya. Orang tak kenal sangat pun tak apa,” katanya memulakan kata.

Jelas Didi atau pemilik nama lengkap Dayang Nazilah Awang Astillah, apa yang penting saat ini, dia masih lagi mampu bertahan dan kekal diterima dalam industri.

Akuinya, hidup dalam zaman dan dunia sedang dibadai pandemik, tiada apa yang lebih penting dan disyukuri selain masih mempunyai pekerjaan dan sumber pendapatan.

BEKAS peserta Idola Kecil musim pertama ini mengakui jiwanya kini lebih cenderung terhadap lakonan meskipun memulakan kerjaya sebagai penyanyi.

Bukan rezeki

Meneruskan bicara, anak kelahiran Negeri Di Bawah Bayu, Sabah ini menyifatkan dirinya masih beruntung kerana diberi kepercayaan orang industri, khususnya pemilik rumah-rumah produksi.

Kata Didi, sebelum kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3.0 bermula Jun lalu, dia sempat menghabiskan penggambaran bagi sebuah naskhah 20 episod berjudul Kinabalu Aku Rindu.

“Ya itulah penggambaran drama terakhir yang saya sempat saya habiskan. Habis sahaja, rakaman dan pulang ke Kuala Lumpur, terus kerajaan laksanakan PKP.

“Bersyukur sangat sebab semuanya dapat berjalan dengan lancar dan sempat jugalah saya melepaskan rindu terhadap kampung halaman di Sabah,” ujarnya.

Tambah wanita berusia 25 tahun itu, sebelum penggambaran drama tersebut, ada juga beberapa naskhah telefilem sempat dijayakan dan sudah menemui penonton televisyen.

Dek pandemik, Didi sama sahaja seperti anak seni lain yang turut terjejas kerana tidak dapat meneruskan aktiviti seni.

“Kalau ikutkan ada beberapa naskhah yang saya sudah dijanjikan sebagai pelakon. Cuma tinggal turunkan tanda tangan sahaja.

“Tapi apakan daya, kita pun faham dengan keadaan yang semakin huru-hara ketika ini selain nyawa yang menjadi taruhan utama, jadi saya anggap itu semua bukan rezeki,” ujarnya.

Didi bagaimanapun memanjatkan kesyukuran kerana baru-baru ini rindunya untuk kembali beraksi dalam dunia lakonan termakbul selepas mendapat peluang untuk menjayakan sebuah drama bersiri seram, Malaysian Ghost Stories.

“Alhamdulillah walaupun tak pernah lakonkan naskhah seram sebelum ini, tetapi ini satu pengalaman baharu yang menakjubkan.

“Kali ini, saya terpaksa belajar tarian ulik mayang kerana membawakan watak sebagai pelajar kolej dan penari kebudayaan,” katanya yang menghabiskan tiga hari penggambaran di Perak selepas negeri itu memasuki Fasa 2, Pelan Pemulihan Negara.

MENGENAI perancangan, Didi mengimpikan untuk menubuhkan sebuah rumah produksi yang berkarya atas jenama sendiri.

Kahwin

Tidak cukup sekadar bercakap tentang perjalanan dan perancangan karier, persoalan klise tentang soal hati dan perasaan tetap tersulam dalam perbualan.

Untuk Didi sendiri, perkara berkenaan juga bukan sesuatu yang pelik, memandangkan kakaknya, Bella Astillah juga bernikah pada usia muda.

Cuma bagi Didi, impian untuk menamatkan zaman bujang pada usia sekarang bukan menjadi keutamaan.

“Lagipun saya sedar nak jadi isteri dan ibu bukan satu perkara yang mudah dan saya belum bersedia ke fasa itu.

“Kakak (Bella) pun selalu pesan nak kahwin fikir masak-masak terlebih dahulu. Jangan disebabkan keinginan semata-mata. Nikah bukan satu benda main-main,” katanya.

Seraya menamatkan cerita, Didi mengakui miliki ramai kenalan lelaki tetapi untuk bergelar isteri orang dalam waktu terdekat bukanlah sesuatu yang memberat di jiwa ketika ini.

MEMULAKAN karier sewaktu kecil sebagai penyanyi, Didi bersyukur rezekinya dalam bidang seni masih bertahan hingga ke detik ini.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI