PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di satu atau dua tempat melibatkan lima negeri pada petang ini.
MetMalaysia dalam laporan cuaca di YouTube memberitahu, setakat ini amaran cuaca buruk meliputi di Sarawak Barat masih lagi berterusan pada hari ini dan dijangka tamat pada tengah malam ini.
Justeru itu, dinasihatkan orang awam agar menjauhi kawasan persisiran pantai dan juga hendaklah kekal berada di dalam rumah kerana keadaan hujan dan juga keadaan laut yang bergelora boleh menggugat keselamatan orang awam.
“Bagi keadaan cuaca semasa pula kelihatan hujan semakin reda di sekitar daerah Sepang dan juga Kuala Langat. Diikuti di sekitar daerah Port Dickson dan Seremban, ia dijangka berhenti dalam tempoh satu jam lagi.
“Manakala keadaan hujan dijangka memasuki di kawasan Bagan Datuk, Hilir Perak dan juga sekitar Manjung dalam tempoh 30 minit lagi kerana hujan memasuki dari Selat Melaka menuju ke persisir pantai di daerah tersebut,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu katanya, orang ramai khususnya yang bekerja dinasihatkan agar menyediakan payung atau mengenakan pakaian baju hujan.
“Selain itu, laporan cuaca menunjukkan hujan reda di sekitar negeri Perlis dan Kedah, ia dijangka berhenti dalam tempoh satu jam lagi.
“Manakala keadaan cuaca di sekitar negeri Sabah dan Sarawak, bagi mereka yang ingin turun ke laut sekarang ialah bukan masa yang sesuai kerana terdapat hujan beserta ribut petir di satu dua tempat sedang aktif berlaku di kawasan perkapalan dan perairan berhampiran dengan negeri Sarawak dan Sabah,” katanya.
Jelasnya, tempias hujan renyai dijangka di kawasan sekitar persisiran pantai di kedua-dua buah negeri tersebut.
Bagi ramalan cuaca petang dan malam pula, MetMalaysia menjangkakan hujan beserta ribut petir di satu dua tempat dimulai di sekitar negeri Pahang sehingga ke negeri Johor diikuti di sekitar kawasan Sarawak Utara dan juga hampir semua bahagian di negeri Sabah.- K! ONLINE