JOHOR BAHRU – Pemilik ladang sawit di Kampung Ulu Sungai Johor, Ulu Tiram, di sini dikejutkan dengan penemuan dua butir bom lama ketika menjalankan kerja pembersihan ladang hari ini.
Menurut kenyataan Polis Johor di laman Facebooknya, pihak polis menerima panggilan berhubung mengenai penemuan itu awal pagi tadi.
Katanya, sebuah Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama UPB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dihantar ke tempat kejadian susulan panggilan diterima.
Tambahnya, pasukan UPB turut mẹmbuat pemeriksaan di Kawasan sekeliling bagi memastikan tidak ada bom lain ditemui selain memastikan kawasan tersebut dalam keadaan selamat.
“Bom lama yang ditemui itu ialah jenis Artillery Shell 85mm. Sekitar pukul 10.30 pagi, pasukan UPB telah menjalankan tindakan pemusnahan bom lama di lokasi kejadian.
“Tindakan pemusnahan In Situation (In-situ) telah dijalankan secara High order menggunakan kaedah elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, pemusnahan telah dijalankan dengan jayanya tanpa sebarang kehilangan ke atas nyawa dan kerosakan harta benda.
Pihak Polis Johor ingin menyeru kepada orang ramai sekiranya menjumpai objek yang mencurigai atau dipercayai bom, sila lapor segera kepada mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan siasatan lanjut.
“Diingatkan juga supaya jangan diusik, dialih atau digerakkan objek tersebut bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini,” ujarnya.-K! ONLINE.