PETALING JAYA – Mengangkat tema kehidupan masyarakat Orang Asli sebagai subjek penceritaan, drama bersiri Anak Sena yang sedang menemui penonton TV3 ketika ini bukan sahaja sarat pengajaran dan kisah hidup masyarakat minoriti, bahkan tular dan dipuji sebagai sebuah naskhah segar dalam media sosial.
Mewakil syarikat penerbitan Kembara Sufi Production Sdn Bhd, Jaja Ishak gembira dengan sambutan yang diterima dan menganggap penerimaan khalayak sebagai tuah buat mereka yang berani mempertaruhkan tema yang lain daripada yang lain.
“Memang saya berterima kasih kepada TV3 yang percaya kepada karya Anak Sena memandangkan naskhah sedikit berbeza daripada tema yang biasa menjadi perhatian ramai. Apatah lagi sekarang dalam musim Bulan Kemerdekaan sudah pasti temanya bersesuaian dengan mood ketika ini.
“Paling saya berterima kasih apabila membacakan komen-komen positif yang ditinggalkan oleh penonton yang suka dengan drama ini. Ada yang suka dengan tema guru yang terpaksa berpindah ke pedalaman dan ada juga yang rindukan Taman Negara. Apa sahaja yang positif kami hargai,” kata Jaja lagi.
Anak Sena memaparkan kisah Sena yang juga merupakan Tok Batin daripada suku Bateq yang mahukan perubahan berlaku kepada anak-anak Orang Asli melalui pendidikan. Namun pelbagai dugaan terpaksa dihadapinya termasuklah tentangan daripada orang sekeliling yang masih menganggap pendidikan tidak penting berbanding ilmu hidup di dalam hutan.
Naratif karya menjalani penggambatan di Taman Negara, Pahang ini, diperkuatkan dengan kehadiran seorang guru muda yang terpaksa berpindah ke kawasan pedalaman dan berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk mendidik anak bangsa.
Diterajui oleh Ben Amir sebagai Cikgu Amir, dia berhadapan dengan pelbagai konflik dalam mendidik anak bangsa dan melalui pelbagai dugaan agar muridnya dapat menghabiskan pelajaran di sekolah.
“Banyak kisah menarik yang digarap melalui drama ini. Pelbagai suka duka yang tidak pernah diketahui umum divisualkan untuk tontonan semua. Konflik demi konflik yang berlaku memberikan nilai tambah kepada kisah Anak Sena.
“Setidaknya kisah mereka memberikan kita pengajaran berguna. Apa yang kita lihat berbeza dengan apa yang dilalui oleh sebahagian daripada kita,” kata Jaja Ishak.
Dalam pada itu, Jaja mendedahkan pelbagai cabaran yang terpaksa dilalui oleh kru produksi sepanjang penggambaran berlangsung. Disebabkan lokasi yang sedikit jauh dari Kuantan, sudah pasti mereka perlu bersedia dengan pelbagai kemungkinan sejak awal lagi.
Mengakui produksi kali ini memberikan cabaran berbeza kepada mereka, dia bagaimanapun bersyukur kerana pelakon dan kru yang terlibat tidak berhadapan dengan masalah besar sehingga menyebabkan penggambaran ditanggungkan.
“Ini merupakan sumbangan kecil kami untuk masyarakat dengan memaparkan kisah yang jarang mendapat perhatian. Setidak-tidaknya kita boleh memperbanyakkan lagi naskhah sebegini untuk menyemai semangat cintakan negara dan meraikan kepelbagaian kaum di Malaysia.
“Paling menggembirakan apabila ada yang mula belajar banyak perkara tentang suku kaum masyarakat Orang Asli yang jarang didedahkan kepada umum. Itu cukup memberikan kepuasan kepada pengkarya seperti kami,” katanya yang berpengalaman luas dalam bidang penerbitan drama dan travelog.
Anak Sena ditayangkan setiap hari Rabu hingga Sabtu menerusi slot Lestary TV3. Antara pelakon terlibat termasuklah Ruzaidi Abdul Rahman, Sasha Abedul, Hadi Putera, Nadia Aqilah, Farah Ahmad dan ramai lagi selain penampilan istimewa Azwan Ali (Diva AA). – K! ONLINE