fbpx

Waspada ajakan panggilan video

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MOHD. SYALMIZI HAMID,
WAKIL PULAU PINANG

BARU-BARU ini Polis Daerah Timur Laut di Pulau Pinang mendedahkan seramai 25 lelaki menjadi mangsa ugutan siber melalui aktiviti lucah sepanjang tahun ini yang direkodkan setakat pertengahan bulan lalu.

Individu yang berusia antara 17 hingga 50 tahun itu dikatakan menjadi mangsa pemerasan selepas membuat panggilan video lucah atau melanggan perkhidmatan seks melalui beberapa aplikasi sosial popular.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, kesemua mangsa tersebut dilaporkan mengalami kerugian berjumlah kira-kira RM150,000.

“Bagi jerat melalui tawaran langganan seks, modus operandi yang digunakan adalah dengan meminta bayaran deposit daripada mangsa selepas bersetuju mendapatkan perkhidmatan itu.

“Jika enggan berbuat demikian, mangsa akan diugut untuk dimalukan di media sosial,” katanya baru-baru ini.

Menurut Soffian, bagi kes panggilan video, suspek menggunakan wanita yang akan beraksi lucah, manakala mangsa akan diajak berbogel bersama melalui panggilan tersebut.

Tanpa mangsa menyedari, aksi itu sebenarnya telah dirakam oleh suspek sebelum mengugut mangsa sambil meminta sejumlah bayaran wang sekiranya tidak mahu video terbabit disebarkan
di media sosial.

Baru-baru ini, seorang guru lelaki di Melaka misalnya mengalami kerugian RM600, malah dia turut trauma selepas diperdaya jerat panggilan video setelah berkenalan dengan seorang wanita di MiChat.

Menurut laporan akhbar, pemuda berusia 26 tahun itu telah membuat panggilan video lucah di WhatsApp selama lima minit tanpa menyedari aksinya telah dirakam selama 30 saat sebelum diugut.

Sementara itu, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, modus operandi berkenaan bukanlah perkara baharu dalam landskap jenayah selepas berlakunya ledakan teknologi komunikasi berikutan capaian yang semakin meluas.

“Sindiket memulakan perbualan mengikut skrip di chatroom sebelum mengajak mangsa beralih kepada panggilan video seperti Skype misalnya.

“Kemudiannya, anggota sindiket memainkan rakaman seorang wanita menanggalkan pakaian dan memujuk mangsa melakukan perkara yang sama.

“Aksi tersebut telah dirakam sebelum mangsa diugut untuk video itu disiar di laman sosial sekiranya bayaran tertentu tidak dilakukan menerusi pemindahan wang bank asing,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Beliau juga menambah, kegiatan ‘pemerasan maya’ adalah jenayah yang serius kerana meninggalkan kesan trauma yang berpanjangan kepada mangsa.

“Seorang remaja bernama Daniel Perry di Scotland misalnya telah bertindak membunuh diri selepas menjadi mangsa pemerasan sedemikian pada Ogos 2013,” katanya.

Menurut Kamal Affandi lagi, antara sindiket yang telah berjaya ditumpaskan di rantau ini adalah seorang wanita yang digelar Ratu Pemerasan Seks, Maria Caparas-Regalachuelo dari Filipina.

Beliau menasihati pengguna media sosial agar tidak membuat pembayaran sekiranya menjadi mangsa pemerasan tersebut kerana suspek boleh melakukan tindakan itu secara berulang selagi memiliki rakaman tersebut. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI