JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah bahawa kejadian seorang wanita yang bersalin secara bersendirian di Hospital Sultan Ismail (HSI) tidak sepatutnya berlaku.
Titah baginda, pihaknya telah menerima laporan berhubung perkara itu dan individu berkenaan telah diberikan peringatan dan amaran.
“Saya telah menerima laporan dari Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) melihat kenyataan JKNJ.
“Pihak-pihak tertentu akan diberikan peringatan dan amaran supaya memastikan keselamatan dan keselesaan para pesakit sentiasa dijamin.
“Perkara-perkara yang tidak diinginkan seperti ini tidak patut berlaku lagi,” titahnya dalam satu ciapan di laman Twitter miliknya, semalam.
Semalam, tular di media sosial seorang wanita melalui proses bersalin secara bersendirian di dewan bersalin HSI di sini, pada 31 Julai lalu.
Pengarah JKNJ, Datuk Dr. Aman Rabu dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara tersebut.
Dr. Aman dilaporkan berkata, wanita berusia 36 tahun itu mengandung anak keempat dengan usia kandungan 39 minggu hadir ke bilik saringan pada pukul 5.33 pagi, 23 Julai lalu kerana mempunyai tanda awal bersalin. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929