fbpx

Taktik licik Tsitsipas bawa tuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TSITSIPAS terpaksa mengharungi empat set permainan untuk mencatat kemenangan ke atas Mannarino pada aksi Terbuka AS semalam. – AFP

NEW YORK – Pemain pilihan ketiga, Stefanos Tsitsipas terus menggunakan helah licik untuk meloloskan diri ke pusingan ketiga Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas menewaskan wakil Perancis, Adrian Mannarino di Pusat Tenis Nasional USTA Billie Jean King semalam.

Pada aksi tersebut, pemain Greece berusia 23 tahun itu mengambil masa rehat yang cukup lama di dalam bilik air sebelum meraih kemenangan 6-3, 6-4, 6-7, 6-0 ke atas Mannarino.

Tsitsipas menjelaskan, dia memohon ke bilik air pada hujung set ketiga disebabkan mahu mandi kerana pakaian yang dipakainya di atas gelanggang basah lencun akibat peluh.

“Saya kembali segar selepas mengambil masa rehat di bilik air, jadi tidak terkejut apabila meraih kemenangan mudah terutama pada set keempat. Namun, pujian wajar diberikan kepada Mannarino kerana bersaing sengit sepanjang perlawanan,” katanya.

Sebagai rekod, beberapa pemain utama seperti Andy Murray dan Alexander Zverev mengkritik strategi licik Tsitsipas kerana gemar mengambil masa rehat yang cukup lama sehingga menjejaskan momentum pemain dan semangat kesukanan.

Sementara itu, pilihan kedua kejohanan, Daniil Medvedev turut melangkah ke peringkat seterusnya selepas menafikan cabaran Dominik Koepfer dari Jerman dengan kemenangan 6-4, 6-1, 6-2 pada pusingan kedua semalam.

Kata Medvedev, dia ketika ini berada di puncak prestasi dan bersedia untuk mengharungi setiap halangan dalam usaha menjuarai kejohanan bertaraf Grand Slam tersebut.

“Ia adalah kemenangan yang baik dan saya gembira dapat meraih keputusan straight-set. Ada ketika saya juga kehilangan fokus khususnya pada set pertama tetapi saya bangkit lebih dominan dalam baki dua set selepas itu,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN