PETALING JAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan dalang satu sindiket pinjaman wang atau ceti haram yang dikenali sebagai ‘Ah Long Bangladesh’ dalam satu operasi khas semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas pada pukul 1 pagi semalam di sebuah premis kediaman Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, penghuni premis enggan memberikan kerjasama untuk membuka pintu sehingga memaksa pasukan operasi memecahkan pintu premis untuk melakukan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat lima orang warga asing berada di premis berkenaan dan hasil soal siasat awal terhadap penghuni rumah, mendapati suspek utama yang dikenali sebagai ‘Ah Long Bangladesh’ telah melarikan diri ketika pasukan serbuan sedang memecahkan pintu hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, suspek utama yang bertindak melompat ke koridor rumah bersebelahan dan bersembunyi di kawasan tersebut ditemui lebih kurang dua jam kemudian.
“Sebanyak sembilan keping pasport Bangladesh dan wang tunai sebanyak RM50,000 dipercayai hasil aktiviti pinjaman dan penghantaran wang tanpa lesen telah ditemui dalam operasi ini.
“Selain itu, turut ditemui sejumlah dokumen berkaitan sebuah syarikat dan beberapa kontrak penyewaan bangunan yang dipercayai digunakan sindiket untuk menjalankan kegiatan ini,” katanya.
Menurut Khairul Dzaimee, sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang dan kiriman wang tidak berlesen kepada warga asing di sekitar Kuala Lumpur.
“Seramai dua orang warga Bangladesh yang berusia 23 dan 41 tahun termasuk seorang yang merupakan dalang utama sindiket telah ditahan di bawah Seksyen 51(5) (b)Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari untuk siasatan lanjut.
“Kedua-dua suspek juga disiasat di bawah Akta Pasport 1950 (Akta 150) dan Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001(Akta 613),” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929