PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini melancarkan produk Simpan SSPN Plus kesinambungan produk SSPN-i Plus yang ditambah baik dengan tawaran pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, Simpan SSPN Plus begitu kompetitif dan unik kerana konsep simpanan pendidikan digabungkan bersama manfaat perlindungan takaful, sekali gus menjadikannya antara pelan simpanan pendidikan terbaik di pasaran.
“Produk ini turut menawarkan lebih banyak pilihan kepada pendeposit dengan kerjasama strategik bersama tiga syarikat pengendali takaful iaitu Hong Leong MSIG Takaful Berhad, Great Eastern Takaful Berhad dan Takaful Ikhlas Family Berhad.
“Pelbagai keistimewaan dan manfaat dinikmati pendeposit antaranya perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, penyakit terminal sehingga RM200,000, manfaat penghantaran balik jenazah sehingga RM10,000, rawatan pesakit luar akibat kemalangan sehingga RM3,000 dan perlindungan sehingga umur pendeposit 69 tahun, “jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Produk Simpan SSPN Plus secara maya, hari ini.
Katanya, Simpan SSPN Plus juga mengekalkan keistimewaan sedia ada seperti dividen kompetitif, pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000, simpanan patuh syariah dan dijamin kerajaan.
“Bagi lebih 690,000 akaun SSPN-i Plus sedia ada juga akan menikmati manfaat yang lebih menarik bersama produk baharu Simpan SSPN Plus,” jelasnya. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929