fbpx

Polis selamatkan lelaki diculik rakan senegara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KAJANG – Seorang lelaki warga Bangladesh yang diculik rakan senegaranya berjaya diselamatkan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Teknologi Kajang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, serbuan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang lelaki warga Bangladesh semalam.

“Pengadu menyatakan pekerjanya telah hilang sejak 27 Ogos dan dipercayai diculik. Perkara itu dimaklumkan oleh isteri mangsa yang berada di Bangladesh.

“Mangsa telah dilarikan dua orang lelaki Bangladesh ketika berada di kawasan Jelok Ria dan telah menghubungi isterinya untuk meminta memasukkan wang tunai 1 juta Taka (anggaran RM50,000) ke akaun bank Bangladesh,” katanya dalah satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, isteri mangsa yang ketakutan telah melakukan transaksi tersebut ke satu akaun bank tempatan Bangladesh yang tidak dikenali.

“Bagaimanapun, selepas tiga hari diculik suspek telah meminta tambahan 1 Juta Taka lagi untuk membebaskan mangsa yang disembunyikan di tempat yang tidak diketahui.

“Akibat kehabisan duit, isteri mangsa telah menghubungi pengadu untuk meminta bantuan,” jelasnya.

Bertindak atas maklumat, dengan tindakan pantas oleh pihak Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah berjaya menahan dan menangkap empat suspek di hadapan kedai di TTDI Grove Kajang kurang daripada 24 jam selepas aduan dibuat oleh pengadu.

“Hasil pandu arah oleh suspek telah membawa pasukan polis ke kawasan perumahan di Bandar Teknologi Kajang dan menemukan mangsa di dalam sebuah bilik kecil di tingkat atas rumah dalam keadaan lemah dan kedua-dua tangan bergari manakala kedua kakinya dirantai dan dikunci dengan mangga.

“Semasa mangsa diselamatkan, seorang wanita warga tempatan yang merupakan isteri kepada salah seorang suspek turut ditangkap,” ujarnya.

Katanya, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Kajang, hari ini, bagi tujuan permohonan reman dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 365/384 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit serta salah dan melakukan pemerasan. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI