GERIK – Insiden serangan komunis ketika sedang menjalankan kerja-kerja membina Lebuh Raya Timur Barat (LRTB) menghubungkan Perak dengan Kelantan masih segar dalam ingatan seorang pesara Jabatan Kerja Raya (JKR), Abu Safran Ishak.
Kejadian yang berlaku antara tahun 1974 hingga 1976 itu mengorbankan tiga rakan sekerjanya termasuk seorang rakan baiknya bernama Ismail yang memandu lori milik JKR ketika mereka diserang hendap Komunis.
Menurut Abu Safran, 68, serangan hendap pada awal pagi Sabtu tersebut benar-benar menunjukkan kekejaman komunis kerana menyerang pekerja yang sedang bekerja membina lebuh raya berkenaan.
“Rutin setiap pagi kami akan naik lori kira-kira 20 orang dari base camp untuk ke tapak pembinaan di Batu 5 dan Batu 7 bermula dari Kuala Rui.
“Saya bersama beberapa pekerja JKR yang lain kemudiannya diturunkan di tapak pembinaan di Batu 5 kerana juruteknik bertugas bercuti dan saya mengantikannya, manakala selebihnya bergerak ke Batu 7 diiringi satu platun tentera,” katanya kepada Kosmo! di sini.
Ceritanya lagi, tidak sampai 10 minit kemudian, dia terdengar bunyi letupan kuat diikuti tembakan tanpa henti.
“Masa itu saya cuma fikirkan rakan-rakan sekerja serta kawan baik saya, Ismail kerana bunyi tembakan tidak berhenti sehinggalah pasukan tentera dari kem berdekatan datang membantu.
“Selepas semuanya selamat kami dibawa keluar dan barulah saya tahu Ismail meninggal dunia ditembak, manakala seorang lagi rakan sekerja saya hilang sebelah mata terkena peluru,” katanya.
Abu Safran berkata, kejadian serangan hendap berkenaan menyebabkan tiga pekerja JKR serta empat anggota tentera meninggal dunia dan ekoran itu mereka diberikan cuti kerana kerja pembinaan dihentikan sementara.
Beliau yang kini menetap di Kampung Air Panas, Gerik berkata, beberapa orang rakan sekerjanya berhenti kerja kerana trauma serta risau tentang keselamatan diri.
“Saya terus bekerja kerana sebagai anak Hulu Perak, saya mahu jalan ini siap selain kawan-kawan ada memberi semangat walaupun terdedah kepada ancaman komunis sepanjang masa,” ujarnya.
LRTB sepanjang 123 kilometer dari Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan yang menelan belanja kira-kira RM205 juta antara usaha strategik kerajaan untuk memerangi pengganas komunis dengan membangunkan kawasan luar bandar menjadi faktor projek tersebut disabotaj. -K! ONLINE