PETALING JAYA – Harapan pasukan Perak FC untuk menghidupkan sisa peluang kekal dalam kancah Liga Super musim depan tidak kesampaian selepas tewas 1-2 kepada Melaka United sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Hang Jebat itu, skuad The Bos Gaurus yang dihimpit masalah prestasi apabila merekodkan lima kekalahan berturut-turut sebelum ini berjaya mendahului saingan menerusi jaringan penalti yang disempurnakan oleh kapten, Sergio Aguero pada minit ke-29.
Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan tuan rumah yang dikendalikan oleh Zainal Abidin Hassan memperkemaskan jentera serangan dan berusaha untuk mencari gol penyamaan tetapi gagal berbuat demikian pada babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, skuad Sang Kancil mempamerkan corak serangan yang lebih agresif dengan mengasak kubu Perak FC dan berjaya memecah kebuntuan menerusi ledakan cantik pemain import, Manuel Ott pada minit ke-66.
Skuad tuan rumah terus ghairah dalam memastikan tiga mata penuh dapat dibawa pulang dan kini giliran penyerang sensasi, Sony Norde meledak gol kemenangan pada minit ke-79.
Jaringan tersebut memastikan skuad Perak FC mengalami kekalahan keenam berturut-turut sekali gus mengesahkan penyingkiran pasukan itu ke kancah Liga Premier musim depan.
Skuad Perak FC hanya mampu meraih 13 mata selepas mengharungi 21 perlawanan manakala Melaka mengesahkan status mereka untuk kekal di liga utama dengan meraih mata ke-21 ketika saingan berbaki satu perlawanan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929