COLUMBIA, CAROLINA SELATAN – Seekor liger (kacukan singa dan harimau) bernama Hercules yang diiktiraf sebagai kucing terbesar dunia oleh buku rekod Guinness Book of Records, dirakam bersiar-siar bersama seorang penjaga zoo yang terkejut melihat saiznya, lapor akhbar Daily Star semalam.
Jay Brewer yang merupakan pemilik The Reptile Zoo bertemu Hercules ketika dia melawat Safari Myrtle Beach di Carolina Selatan dan berpeluang mendekati kucing besar itu.
Hercules yang memiliki berat 408 kilogram merupakan kacukan singa jantan dan harimau betina. Saiznya yang besar menjadikan Hercules diiktiraf spesies kucing paling besar oleh buku Guinness Book of Records sebanyak tiga kali.
Menerusi klip video yang dimuat naik Brewer dalam akaun Instagramnya, lelaki itu memperkenalkan Hercules dan dilihat mengagumi saiz haiwan tersebut.
“Ini merupakan seekor liger yang merupakan antara spesies kucing terbesar di dunia. Bukankah ini sesuatu yang mengagumkan?,” demikian kata Brewer yang berjalan dengan Hercules sambil ditemani penjaga haiwan itu, Kody Antle.
Antle berkata, salah faham terbesar yang berlaku adalah orang sering menyangka tiada singa di luar Afrika, namun hakikatnya terdapat banyak singa hidup di Benua Asia, khususnya di India.
Video tersebut mendapat lebih 180,000 tanda suka sejak dimuat naik pada 31 Ogos lalu dengan beratus-ratus netizen meninggalkan komen.
“Saya berasa kagum melihat betapa besarnya haiwan hibrid itu,” tulis seorang netizen.
“Besarnya kucing itu, saya cemburu kerana anda dapat memegangnya,” tulis seorang lagi netizen. – Agensi