KLANG – Gara-gara berhutang, seorang pekerja kilang warga Myanmar parah ditikam di muka, leher dan belakang badannya oleh rakan senegaranya di hostel mereka di Persiaran Selat Selatan 1, Pandamaran di sini semalam.
Mangsa berusia 37 tahun yang terbaring berlumuran darah dengan sebilah pisau berada tidak jauh daripadanya itu ditemui penyelianya kira-kira pukul 1.25 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek adalah pekerja sebuah kilang besi.
Katanya, bertindak hasil maklumat kemudiannya menahan suspek berusia 22 tahun di hadapan hostel berkenaan pukul 6.30 petang hari sama.
“Kita turut merampas sebilah pisau pemotong yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian tersebut.
“Mangsa pula yang mengalami kecederaan di muka, leher dan belakang badan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR),” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Jelas beliau, berdasarkan siasatan awal mendapati motif kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati berkenaan hutang mangsa.
Tambah Shamsul Amar, hasil siasatan awal turut mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes tersebut dan kini direman selama 14 hari sehingga 16 September depan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929