KOTA KINABALU – Sebuah kereta Perodua Myvi hanyut ditolak arus deras banjir dalam kejadian di Jalan Kionsom Lama, Inanam petang tadi.
Dua individu yang dipercayai berada di dalam kenderaan terbabit dikatakan sempat menyelamatkan diri dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu.
Detik cemas itu sempat dirakam oleh pemandu yang berada di belakang kenderaan berkenaan sebelum tular di media sosial. Belum ada sebarang pengesahan diterima dari pihak berkuasa setakat ini.
Bagaimanapun, menurut beberapa penduduk sekitar kawasan kejadian mendakwa mangsa yang dikenali sebagai Joseph itu selamat dalam kejadian terbabit.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada pukul 6.01 petang.
“Pasukan bomba menggunakan Lori Hicom BHX 619 dikerah ke lokasi kejadian bagi mencari dan menyelamat mangsa. Kita setakat ini masih belum menerima sebarang laporan sama ada mangsa dan kenderaan sudah ditemui atau belum.
“Namun ada laporan di media sosial yang mendakwa mangsa sudah ditemui tetapi usaha mencari dan menyelamat individu terbabit masih giat dilaksanakan,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929