PETALING JAYA – Luka di tangan nampak berdarah, luka di hati siapa yang tahu.
Lima tahun selepas pemergian ibunya, Allahyarham Maria Salim, penyanyi dan komposer terkenal Singapura, Alyph atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Abdullah mengakui masih sukar untuk menerima kenyataan tersebut.
Alyph yang ditemu bual media Malaysia semalam mengatakan, pandemik Covid-19 lebih membuat dirinya berasa sunyi dan mudah terkenang kisah lama.
“Sebelum pandemik, kita kurang menjadi diri kita kalau dibanding waktu sekarang. Sekarang ini disebabkan Covid-19, betapa kusut atau gembira atau betapa sukar keadaan, kita lebih menjadi diri kita yang sebenarnya atau lebih kenali diri sendiri.
“Kita tak selalu tengok benda yang kita terlepas pandang sebelum pandemik. Saya boleh beri satu contoh untuk meringkaskan perkara ini. Apabila arwah ibu meninggal dunia pada 2016, sukar untuk saya terima kenyataan dia dah tiada.
“Apabila waktu sekarang kita tiada kerja nak buat, kita cenderung untuk ingat balik perkara lama. Suatu waktu, saya ingat saya kuat dan sudah terima hakikat dan lupakan segalanya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ujar Alyph, walaupun dibelenggu masalah pandemik Covid-19, baginya, banyak perkara yang dipelajari tentang diri sendiri sepanjang tempoh ini.
“Itu (tentang kematian ibu) hanyalah satu kepingan masalah daripada keseluruhan yang saya hadapi. Saya hanya nak beritahu apa sebenarnya yang sedang dirasai sekarang,” katanya.
Terbaharu, Alyph muncul dengan EP berjudul ‘III/III’ yang memuatkan tiga buah lagu iaitu Adakah Kau Mendengar, Skali Lagi dan Show Me Colours.
III/III boleh didengari di semua platform digital bermula hari ini (3 September 2021) dan video muzik rasmi Skali Lagi telahpun ditayangkan secara perdana menerusi laman YouTube penyanyi tersebut bermula semalam, 2 September pukul 9 malam. – K! ONLINE