fbpx

‘Kalau pandemik berakhir, pergilah ke rumah Allah dulu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZIZAN RAZAK pernah menunaikan umrah dan menyambut Hari Raya Aidilfitri di Mekah sekitar 2017 dan 2018.

PETALING JAYA – Pelawak terkenal Zizan Razak menyarankan umat Islam agar meletakkan sasaran mahu menjejakkan kaki ke rumah Allah iaitu ke Tanah Suci Mekah terlebih dahulu sekiranya sempadan negara dibuka kelak.

Kata pemilik nama penuh Muhammad Razizan Abdul Razak, 37, Mekah seharus menjadi destinasi pilihan pertama berbanding lokasi lain jika ada yang berkemampuan untuk bercuti atau melancong ke luar negara.

“Jika endemik sudah selesa, tolong ada niat untuk pergi ke Mekah.

“Sangat indah pengalaman ketika menjejakkan kaki ke sana,” katanya dalam sesi siaran langsung bersama penyanyi Shiha Zikir malam tadi.

Dalam perkongsian sama, pelakon filem Hantu Bonceng itu juga mencadangkan agar duit yang disimpan untuk melancong ke negara lain sebaik-baiknya digunakan untuk ke mengerjakan umrah terlebih dahulu.

“Bayangkan kita penat untuk simpan RM5,000 tetapi dapat saja duit, pergi Korea, Jepun atau Australia dulu.

“Tidak salah pun perkara itu namun kenapa kita mampu simpan duit sebanyak itu tetapi tidak ke rumah Allah dulu?” ujarnya lagi.

Tambah pelantun lagu Berserah itu, dia juga menasihatkan orang agar tidak terlalu terpengaruh dengan kisah-kisah negatif di Tanah Suci.

“Orang kita sering dimomok-momokkan dengan cerita negatif pengalaman orang lain. Sebab itulah sebelum pergi solat taubat.

“Sentiasalah bersangka baik dengan Allah, pasti dia akan berikan yang terbaik untuk hamba-Nya,” katanya lagi.

Untuk rekod, Zizan pernah menunaikan umrah dan menyambut Hari Raya Aidilfitri di Mekah sekitar tahun 2017 dan 2018. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI