fbpx

Janda Baik masih ‘kesunyian’, sepi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BENTONG – Operasi pelanco­ngan telah dibuka, namun pe­ngunjung pula tiada.

Itu dilema yang terpaksa ditanggung pemain industri pelancongan di Janda Baik di sini selepas kawasan di tanah tinggi itu terus sunyi dan lengang daripada pengunjung sekalipun sektor pelancongan sudah dibuka.

Tinjauan Kosmo! di sekitar Janda Baik kelmarin mendapati, kawasan itu yang biasanya dipenuhi pengunjung khususnya pada hujung minggu kini lengang terutama di kawasan hotel serta pusat peranginan.

Selain premis makanan, terdapat juga pusat peranginan lain di kawasan itu yang terpaksa ditu­tup semula ekoran tiada pelanggan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Setiausaha Persatuan Peng­usaha Resort Janda Baik, Nurul Aswad Akib berkata, pusat peranginan di kawasan berkenaan mula dibuka pada 10 Ogos lalu, namun sehingga kini hampir semua premis pelancongan yang berdaftar masih belum menerima pelanggan.

“Keadaan masih lagi sunyi ke­rana orang ramai tidak dibenarkan merentas negeri menyebabkan pusat-pu­sat peranginan di sini masih tidak menerima pe­langgan.

“Kini, kami beroperasi tanpapelanggan kerana hanya mengharapkan pelancong dalam ne­geri sedangkan 90 peratus pe­langgan kami adalah dari Lembah Klang,” katanya di sini semalam.

Nurul Aswad yang juga Pe­ngurus 101 Resort berkata, kebanyakan pusat peranginan di situ terpaksa bertahan meskipun menanggung banyak kerugian sejak tahun lalu.

Katanya, ada pusat peranginan yang terpaksa menutup sementara operasi dan ada juga yang mengurangkan pekerja de­ngan memberikan mereka cuti tanpa gaji.

Sementara itu, pemilik Resort Afsana Villa, Kamal Mohamad berkata, dia berasa terbeban apabila ketiadaan pelanggan dalam tempoh yang lama.

Katanya, dalam berhadapan situasi tersebut, dia terpaksa bertahan dengan mengambil tindakan membayar separuh gaji kepada pekerja-pekerjanya sehingga keadaan kembali pulih.

“Saya bernasib baik kerana tiada pinjaman bank menyebabkan hanya perlu menampung kos penyelengaraan, bil dan juga gaji pekerja dengan duit simpanan yang ada,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI