WASHINGTON – Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan bahawa bekalan makanan di Afghanistan akan kehabisan menjelang hujung bulan ini, lapor laman United Press International (UPI) semalam.
Wakil khas PBB dan koordinator kemanusiaan di Afghanistan, Ramiz Alakbarov memberitahu bahawa mereka memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya AS$200 juta (RM831 juta).
Jumlah itu bagaimanapun hanyalah cukup untuk mereka menyediakan makanan asas buat golongan paling miskin di Afghanistan.
“Stok makanan daripada Program Makanan Sedunia dijangka habis sebelum Oktober dan ini dijangka menjejaskan edaran di negara ini (Afghanistan) yang menyaksikan lebih separuh kanak-kanak berusia lima tahun menderita kekurangan zat dan makanan.
“Inilah realiti situasi yang sedang kita hadapi. Sangat penting bagi kita untuk mencegah Afghanistan daripada terus tenggelam dalam lembah bencana kemanusiaan,” kata Alakbarov.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pernah memberi amaran serupa bahawa krisis kemanusiaan dan ekonomi semakin kritikal di negara itu.
Dua negara anggota PBB yang enggan identitinya didedahkan telah memberi harapan untuk menyalurkan peruntukan bantuan makanan tetapi ia tidak cukup untuk menampung dana yang diperlukan.
“Kita tidak mengharapkan bantuan hanya daripada satu atau dua penderma.
“Langkah ini memerlukan penyertaan masyarakat antarabangsa secara meluas dalam usaha penggemblengan sumber bantuan kepada rakyat Afghanistan,” kata Guterres. – Agensi