fbpx

Bantu pasar hasil bumi Sabah di Semenanjung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIAPA sangka, penghijrahan ke Sabah pada penghujung tahun 2018 kerana mengikut suami sebaik berumah tangga memberi ruang buat
wanita dari Petaling Jaya, Selangor ini membantu meringankan beban petani atau usahawan kecil di negeri itu yang terjejas ekoran pandemik.

Berbekalkan pengalamannya dalam bidang keusahawanan sejak 16 tahun lalu, Nina Othman, 40, berjaya membantu golongan tersebut memasarkan produk hasil tani atau kraf mereka sekali gus dapat menjana pendapatan.

“Sejak tahun 2005, saya berkecimpung dalam dunia keusahawanan. Sepanjang tempoh itu, pelbagai jenis perniagaan telah diceburi.

“Bermula daripada syarikat produksi sehinggalah perniagaan berasaskan bakeri, semuanya pernah saya cuba.

“Bayangkan, kesemua 13 perniagaan yang diusahakan telah gagal. Bagaimanapun, daripada pengalaman yang ada telah banyak mengajar saya mengenai selok-belok perniagaan sehingga berjaya dalam bisnes terbaharu menerusi syarikat Grow the Goose yang diusahakan di Sabah ini,” kata ibu kepada tiga cahaya mata ini.

Grow the Goose merupakan sebuah syarikat yang menjalankan program pemerkasaan kewangan dan keusahawanan kepada murid-murid sekolah.

Menurut Nina yang merupakan pengasas syarikat itu, dia mula mendekati golongan petani dan pengusaha kraf selepas menganjurkan program keusahawanan kepada mereka.

Pun begitu, semasa musim pandemik ini, Nina mula menyedari mereka sebenarnya mempunyai banyak produk berkualiti untuk dikomersialkan.

Lantaran itu, tatkala negara dilanda pandemik dan melihat masyarakat di sana terkesan teruk, Nina mendapat ilham untuk membantu mereka memasarkan produk dengan menampilkan idea kit kolaboratif Love From Sabah yang mengandungi pelbagai produk hasil tani dan kraf dari Negeri Di Bawah Bayu.

Nina tidak melepaskan peluang untuk turun padang bertemu dengan petani koko di Kampung Tambatuon, Kota Belud.

“Masyarakat di Sabah merupakan antara yang terjejas teruk akibat pandemik kerana kebergantungan mereka terhadap sektor pelancongan
sangat tinggi. Mereka miliki produk untuk dijual tetapi tidak mempunyai platform untuk berniaga kerana pasarpasar di sana juga ditutup.

“Kesemua barangan yang dihasilkan berkualiti tinggi, tetapi masalah dihadapi mereka ialah tidak tahu cara untuk memasarkannya,” ujarnya.

Tambahnya, Love From Sabah berkonsepkan ‘jika kita tidak boleh datang ke Sabah, kami bawakan Sabah kepada anda’ menerusi produk-produk itu yang dipasarkan secara online.

“Kit atau kotak ini mengandungi produk-produk kolaboratif lapan hingga 12 usahawan sosial yang dihasilkan bagi tujuan pasaran ke Semenanjung.

“Lebih menarik apabila para pembeli begitu menghargai produk yang dihasilkan dan mereka sanggup membayar pada harga tinggi. Keadaan ini mendorong pengusaha mengeluarkan produk dengan lebih banyak,” ceritanya.

Produk terdiri daripada tiga siri kit ini dijual pada harga bermula RM220 hingga RM250 bergantung kepada kuantiti barang yang ada dalam kit tersebut.

Kit Love From Sabah diharap dapat memartabatkan produk petani serta artisan di sana.

Nina berharap dengan kewujudan kit Love From Sabah itu sedikit sebanyak mampu memartabatkan produk dan kraf tangan dihasilkan petani serta artisan di sana.

“Saya lihat negara luar begitu menghargai hasil petaninya. Mereka akan mengunjungi kawasan tersebut untuk mendapatkan barangan berkualiti daripada golongan petani dan artisan. Mereka juga tidak kisah untuk membayar pada harga tinggi.

“Berbeza pula bagi kebanyakan orang di negara ini yang mana mereka berkunjung ke pasar-pasar untuk mendapatkan produk pada harga murah.

“Kita perlu sedar, kaedah sebegitu tidak membantu ekonomi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI