IPOH – Beban balu kepada pengawal keselamatan yang meninggal dunia selepas lapan bulan terlantar akibat cedera diserang lelaki dalam kejadian di sebuah kondominium di sini Disember lalu, diringankan.
E. Philomena, 59, hari ini menerima bayaran faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendiang suaminya, S. Thava Sagayam, 64.
Ia melibatkan faedah hilang upaya sementara (FHUS), faedah pengurusan mayat dan faedah orang tanggungan.
Philomena berkata, dia terharu dan berterima kasih kepada Perkeso atas penyerahan faedah caruman yang ditinggalkan mendiang suaminya.
Katanya, faedah yang diterimanya itu sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung dan akan digunakan untuk belanja keperluan harian.
“Saya tidak jangka akan dapat bayaran ini, apa pun saya berterima kasih kepada Perkeso. Duit pencen ini akan saya gunakan untuk beli makanan, bayar bil dan belanja harian lain,” katanya.
Terdahulu cek sumbangan tersebut disampaikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan di rumah keluarga itu di Taman Buntong Ria di sini.
Turut hadir Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929