KUALA KANGSAR – Kerajaan Negeri Perak bersetuju untuk memberikan kelebihan kepada atlet negeri ini untuk mengisi kekosongan jawatan yang bersesuaian dalam pentadbiran negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, bagaimana pun ia bergantung kepada kekosongan jawatan yang bakal diisi serta kelayakan dimiliki atlet tersebut.
“Mesyuarat kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberikan kelebihan kepada atlet kita untuk menjawat jawatan di dalam pentadbiran, tetapi kelayakan itu mestilah diambil kira, mungkin kita uruskan seminimum boleh,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NoU) antara Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak secara maya hari ini.
Khairul Shahril juga mencadangkan agar pihak USAS mempertimbang serta menilai potensi untuk membuka program pengajian baharu dalam bidang sains sukan dan pengurusan sukan.
“Saya mohon jasa baik agar pihak USAS dapat mewujudkan satu kumpulan pakar untuk memperhalusi cadangan kursus ini sebagai satu lagi peluang untuk atlet Perak.
“Ini membolehkan atlet-atlet yang berada di Perak menyambung pengajian memandangkan di negeri ini hanya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menawarkan program sedemikian,” katanya. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929