BUKAN semua penyanyi atau pemuzik mampu melakukan pendaratan sempurna dalam industri seni biarpun pada awalnya mampu menggenggam takhta juara dalam program realiti Akademi Fantasia 2016 (AF2016) seperti yang dilalui oleh penyanyi Amir Masdi atau sebenarnya, Amir Syazwan Masdi.
Janji industri kadangkala hanya tinggal sekadar janji. Kalau di pentas AF2016, namanya sering dilaungkan peminat, lain pula situasinya apabila sudah terjun dalam ‘dunia sebenar’.
Single baharu Esok
Keberadaannya sekitar lima tahun lalu bertiketkan juara program berkenaan seperti ranting yang rapuh tanpa dahan yang konkrit sehingga ingatan peminat seperti kian samar akan kelibatnya sebagai seorang penyanyi.
Sedangkan, tiada apa yang diperdagangkan dengan sepenuh hati dalam gelanggang seni melainkan bakat seninya yang tidak pernah berbahagi dan diperahkan dengan sepenuh jiwa raga.
Perlahan-lahan, Amir melalui satu anjakan dalam kehidupan apabila hasil kerjanya mula mendapat perhatian peminat dan pemerhati seni tanah air. Kemunculannya pertama kali di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) berjaya membuka mata ramai pihak akan kemampuan sebenar dirinya.
Sejak kejadian mengalirkan vokal dengan cemerlang di pentas berprestij berkenaan menerusi lagu Kau Sakiti, dia terus menjadi perhatian selain berjaya mengumpul peminat baharu.
Apatah lagi genre muzik yang dibawa iaitu rock moden dianggap cukup kena dengan mutu vokal hebat penyanyi berusia 26 tahun itu dan mampu menjadi identiti diri dalam kerjaya nyanyiannya.
Yakin dengan genre muzik yang menjadi pilihan, Amir kini muncul dengan buah tangan terbaharu iaitu lagu Esok hasil ciptaan bersama Shazee Ishak, Audi Mok dan Amir sendiri. Lagu bergenre rock moden terbitan syarikat rakaman Nova Music tersebut sudah dirakam sejak awal tahun.
Sebati jiwa rock
“Lirik lagu ini mengikut konsep dan idea daripada saya sendiri. Saya mahu sampaikan sesuatu yang boleh memotivasikan diri dan memberi semangat. Sebab sekarang semua orang berada dalam suasana suram akibat pandemik yang berpanjangan.
“Jadi, menerusi lirik lagu ini, saya nak pujuk hati dan menenangkan orang. Shazee faham apa saya cuba sampaikan dan dia yang menulis liriknya. Saya pula tidak begitu mahir dalam penulisan lirik lagu, sebab itulah saya minta dia tolong.
“Lagu Esok sudah disiapkan sejak awal tahun ini. Kebetulan saya juga ada beberapa lagu lain untuk dilancarkan sebagai single terbaharu. Malah, ikut perancangan asal nak keluarkan lagu yang muziknya lebih berentak ‘up beat’.
“Tetapi selepas berbincang dengan pasukan, semua sepakat untuk lancarkan lagu Esok terlebih duhulu,” katanya.
Menurut Amir, genre muzik yang diketengahkan sudah menjadi signatur jalur muzik yang dibawanya selain juga sudah dekat di hati peminatnya.
“Genre muzik ini saya tetapkan sebab berasa hala tuju muzik saya sudah mula dikenali dan diterima. Peminat juga sudah tahu saya penyanyi genre ini. Pada masa sama, saya memang meminati genre sebegini.
“Kalau lagu berentak perlahan macam ‘slow ballad’, saya tambah elemen bersesuaian untuk menjadikannya lebih ke arah rock moden. Macam lagu Esok, pada asalnya bunyi piano saja, tapi apabila fikirkan balik, tak berapa kuat dan menarik. Jadi saya kembali ke perancangan asal,” katanya.
Nak menang AJL
Pelantun lagu Asmara itu juga mengakui, pembabitannya di pentas AJL35 Mac lalu berjaya menonjolkan bakat nyanyian yang selama ini dipandang sepi.
“Pentas AJL membuatkan saya dapat peminat baharu. Sejak itu juga, orang mula ingin mengenali siapa itu Amir Masdi dengan lebih dekat. Diakui sejak dari dahulu lagi saya sentiasa bekerja keras dalam kerjaya.
Saya tanam tekad dalam diri untuk tidak berasa selesa dengan apa yang dicapai.
“Sebagai contoh, sekalipun dah berjaya memasuki AJL, tidak bermakna saya perlu berehat kerana sudah pernah menjejakkan kaki di atas pentas tersebut. Sebaliknya, saya perlu terus berusaha dan tingkatkan pencapaian pada masa hadapan. Selepas ini, saya berazam nak menang AJL pula.
“Pada masa sama, saya mahu sentiasa ada peningkatan dari segi kerjaya sekali gus dapat bertahan dalam industri. Disebabkan itu, saya akan terus berusaha dan memajukan diri,” katanya panjang lebar.
Berkongsi sedikit mengenai imej berambut panjang ala ‘rocker’ yang dibawanya, Amir mengakui selesa dengan imej sedemikian.
“Ada yang tegur kerana perubahan ketara dan nampak lebih rock, mungkin sebab penampilan dan rambut. Ini akan menjadi imej tetap saya sebab sudah berasa selesa. Peminat pun ramai yang bersetuju juga.
“Secara peribadi saya melihat imej ini paling sesuai. Pada masa akan datang, tak pasti lagi. Kalau jumpa idea baharu, mungkin akan bertukar, tapi untuk sekarang, saya kekal dengan imej ini. Saya okey dan gembira,” katanya.