PETALING JAYA – Pelakon Amar Asyraf gembira bercampur terharu apabila rakan selebriti iaitu pelawak dan juga pengacara, Zizan Razak sudi untuk memborong pakaian yang dijualnya menerusi satu sesi siaran langsung (Live) Instagram, semalam.
Menerusi perbualan antara mereka, Zizan menyatakan kesudian untuk membeli pakaian jualan Amar dengan nilai keseluruhan mencecah RM500 (anggaran 40 helai baju) dan meminta pelakon itu untuk memberikan pakaian tersebut kepada sesiapa sahaja sebagai sedekah.
“Awak jual apa? Nak belilah. Saya nak beli dalam RM500 lepas tu awak sedekahlah dekat siapa-siapa,” kata Zizan.
Mendengar permintaan tersebut, Amar pada awalnya menganggap kata-kata pelakon Polis Evo itu sekadar gurauan. Dia juga ‘malu-malu’ apabila Zizan mahu membeli pakaian yang dijualnya.
“Masya-Allah. Terima kasih banyak-banyak Zizan. Saya doakan semoga awak sentiasa dimurahkan rezeki.
“Jadi kepada sesiapa yang ingin mendapatkan baju yang dibelanja oleh Zizan, boleh hubungi saya untuk mendapatkannya,” kata Amar terharu.
Selain Zizan, Amar turut melahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada beberapa rakan artis lain, termasuk pelakon, Johan As’ari dan Zahiril Adzim.
“Allahuakhbar. Hari ini Allah SWT hantar Zizan untuk saya. Kemudian Johan tolong saya. Tadi saya nampak seorang lagi saudara saya, Zahiril Adzim juga.
“Terima kasih juga pada ramai lagi yang beli untuk sedekah baju pada pengguna Instagram. Saya tidak tahu hendak cakap bagaimana. Kalau ada rakan-rakan terdekat saya tidak perasan, saya minta maaf,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelakon yang pernah memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin ke-19 menerusi drama Dari Pintu Neraka itu turut membantunya untuk sama-mana masuk syurga di akhirat kelak.
“Saya amal tak banyak. Kalaulah nampak saya di neraka, tuan puan tariklah saya ke syurga.
“Assalamualaikum. Terima kasih semua tuan puan yang mulia,” ujarnya.
Terdahulu, sekitar tahun 2020, Amar pernah meluahkan kekesalan atas kesilapan sendiri yang berlaku dalam hidupnya.
Pelakon berusia 35 tahun itu mengakui hidup tertekan dengan pelbagai perkara, termasuk karier dan rumah tanga.
“Tahun 2020 adalah tahun yang sangat buruk. Saya rasa kehilangan, marah, geram. Rasanya seperti saya sedang melawan dunia seorang diri.
“Duit tidak cukup, kes mahkamah syariah, nama kena tolak dengan stesen televisyen, boros sebab tekanan dan macam-macam perkara lagi. Semuanya salah diri sendiri,” ujarnya.
Amar berkata, dia juga telah menyakiti keluarga, rakan dan orang di sekelilingnya dengan sikap dan tingkah laku yang tidak baik. – K! ONLINE