PETALING JAYA – Pelakon Aishah Azman hanya mampu ketawa apabila dituduh netizen menjalani pembedahan kosmetik gara-gara memiliki bentuk hidung yang mancung.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Aishah atau nama lengkapnya Nor Aishah Afika Azman Shah, 25, berkongsi tangkap layar komen seorang pengguna Instagram yang mempersoalkan tindakannya apabila dikatakan sering menayang bahagian hidungnya.
“Apa yang aku perasan dia asyik tunjuk batang hidung. Tidak tahu kenapa,” komen seorang netizen.
Aishah ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, dia berasa kelakar dan tidak terasa hati dengan komen tersebut yang seolah-olah menuduhnya melakukan pembedahan pada bahagian hidung.
“Saya tidak ada apa-apa nak komen tentang isu tersebut. Saya cuba berasa kelakar kerana fikiran dia boleh sampai ke situ (menganggap dirinya menjalani pembedahan hidung).
“Tak tahu nak gelak ke nak sedih. Zaman fitnah, sampai muka saya yang kembang macam ubi kentang pun awak nak cakap saya buat muka,” ujarnya.
Bagaimanapun, pelakon yang pernah membintangi drama Pengantin 100 Hari itu mengakui dia sedikit pun tidak terasa hati, malah sedia memaafkan individu yang telah menuduhnya melakukan pembedahan kosmetik.
Pada masa sama, Aishah turut menasihatkan netizen supaya jangan meninggalkan komen yang tidak baik pada orang lain kerana menganggap perbuatan sebegitu adalah tidak wajar.
“Kalau tidak ada apa-apa perkara baik yang hendak diberitahu, lebih baik diam,” katanya.
Meninjau dalam ruangan komen, rata-rata pengikutnya dalam Instagram menasihati Aishah supaya mengabaikan komen-komen berunsur negatif selain memuji wajahnya adalah cantik secara semula jadi.
“Abaikan sahaja (komen negatif). Awak tetap cantik di mata saya,” kata seorang netizen.
“Biarkan sahaja. Yang penting saya suka awak,” kata seorang lagi pengguna Instagram. – K! ONLINE