GUA MUSANG – Seramai lapan orang pengedar dadah dicekup polis ketika mereka sedang menunggu pelanggan untuk menyerahkan bekalan 1,107 biji pil kuda di sebuah bangsal ladang kelapa sawit di Felda Chiku 6 di sini Ahad lalu.
Dalam serbuan pada pukul 2 pagi itu, polis menahan lapan suspek berusia 25 hingga 34 tahun yang juga merupakan anak kepada peneroka di Felda berkenaan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, serbuan dijalankan selepas menerima maklumat daripada penduduk kampung selepas mereka tidak tahan dengan kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kesemua suspek itu mula dikesan menjalankan kegiatan pengedaran pil kuda di Felda itu sejak sebulan lalu.
“Hasil ujian saringan awal air kencing yang mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (2), Seksyen 39A (1) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di sini hari ini.
Sementara itu, menurut Choon Foo, dalam satu lagi kes berasingan, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang memandu kereta jenis Proton Saga dalam keadaan mencurigakan di ladang kelapa sawit di Felda Aring 15 di sini kelmarin.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas kereta itu telah menemui sebanyak 600 biji pil khayal jenis epam, 183 botol cecair ubat batuk dan 100 kilogram daun ketum. – K! ONLINW
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929