PETALING JAYA – Tindakan 21 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di tepi pantai Jalan Tanjung Balau-Sedili Kecil (Bio-Desaru) selepas memasuki negara ini melalui jalan tidak sah hanya sia-sia apabila kesemua mereka ditahan dalam Ops Benteng awal pagi tadi.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, kesemua PATI berkenaan ditahan selepas anggota petugas Pos Pemerhati mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di kawasan Bio-Desaru, Bandar Penawar, Johor.
“Hasil maklumat tersebut, pasukan telah menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) ke kawasan berkenaan.
“Seramai 21 PATI tersebut yang terdiri daripada 15 lelaki dan 6 wanita merupakan PATI warga Indonesia berusia 19 hingga 44 tahun dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” katanya di sini hari ini.
Katanya, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM11,520 melibatkan RM1,430; IDR 11,562 (RM 3,370.60), bersama 21 buah telefon bimbit.
“Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas. Sementara, laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.
“Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929