fbpx

Sedar selepas mati, elak jadi orang rugi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

ORANG yang takut mati akan mati. Orang tak takut mati pun mati. Semua akan mati. Itu suatu yang pasti di dalam dunia ini.

Kadang-kadang, orang yang sakit begitu lama tak mati-mati. Kerjanya asyik keluar masuk hospital. Puas kita bawa buah limau dan epal ketika pergi menziarahinya tapi nyawanya ‘liat’ sebab belum sampai ajal.

Sebaliknya, orang yang sihat dan tidak pernah kita dengar ada menghidap sebarang penyakit, rajin bersenam dan berjoging tiba-tiba kita dapat khabar mati mengejut.

Orang tengah makan kuih koci pun boleh mati. Ada juga berita dijemput Ilahi kerana tercekik dodol dan ondeh-ondeh. Tiba-tiba sahaja.

Dalam kehidupan, apatah lagi ketika usia sudah menginjak ke angka 40, maka seharusnya kita berjaga-jaga dengan situasi di atas. Manusia akhir zaman tidak panjang umurnya. Antara 60 hingga 70 tahun sahaja. Kebanyakan orang mati dalam kalangan usia begitu.

Namun, jika sudah sampai ajal, ada yang meninggal dunia ketika muda dan ada juga yang lanjut usianya.

Kematian menjemput kita dengan pelbagai keadaan. Dalam banyak-banyak cara, mereka yang menemui ajal dalam keadaan husnul khatimah paling dicemburui.

Alangkah manisnya jika meninggal dunia dalam keadaan sedang bertugas dan mempertahankan hak atau tanah air.

Dijemput Ilahi ketika sedang mengajar dan belajar adalah cita-cita yang mesti dipahat dalam sanubari setiap Muslim.

Bahagia rasa sekiranya ketika hidup, manusia itu sedar akan kepentingan beramal sebagai bekalan yang hendak dibawa ke hari kemudian.

Mereka ini ketika hayatnya, sentiasa melakukan kebaikan sesama saudara, adik-beradik, jiran tetangga dan hanya bercakap perkara yang penting serta mempunyai kaitan dengan dirinya sahaja.

Selebihnya, dia akan beribadat dengan melakukan amalan sunat di samping melaksanakan ibadah wajib sebagai menjaga hubungannya dengan Tuhan.

Bagi mereka yang lalai dengan khayalan dunia, sibuk mengejar harta dan pangkat siang malam pagi petang, tanpa mempedulikan apa bekalan yang hendak dibawa ke negeri abadi, sudah tentu tergolong dalam kalangan mereka yang rugi.

Mereka ini hanya akan tersedar apabila jasad sudah dibaluti dengan kain putih dan berada di dalam liang yang gelap gelita.

Pada saat itu, baru terbit rasa menyesal kerana gagal mengumpul amalan yang menjadi insurans kepadanya ketika berdepan dengan mahkamah pengadilan Ilahi. Baru hendak tersedar apabila sudah mati.

Pandemik Covid-19 ini mengajar kita banyak perkara sama ada kita menyedarinya atau tidak. Ketika inilah, kita diberi masa yang sesuai untuk memperbaiki diri.

Tanya nafsu: “Sampai bila aku hendak tewas dengan kehendak engkau yang tidak pernah suka sekiranya aku melakukan kebaikan?”

Baki umur yang ada ini tidak ternilai harganya. Gunakanlah ia sebaik mungkin supaya ia memberi manfaat dan bukannya kemudaratan buat kita sebelum ajal menjelang tiba. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI