MANCHESTER – Perpindahan pemenang lima kali Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo ke Manchester United akhirnya lengkap selepas pasukan itu membuat pengumuman secara rasmi semalam.
Legenda United itu akhirnya kembali ke Old Trafford selepas pasukan tersebut bersetuju untuk membayar £12.8 juta (RM72.9 juta) kepada bekas pasukannya, Juventus.
Ronaldo yang pernah beraksi bersama United pada tahun 2003 hingga 2009 menyatakan dia sudah tidak sabar untuk kembali beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong di Old Trafford.
“Manchester United adalah sebuah pasukan yang sentiasa berada di tempat paling istimewa di dalam hati saya. Saya sangat gembira dengan mesej yang diterima sejak Jumaat lalu.
“Saya sangat teruja dan tidak sabar untuk kembali beraksi di Old Trafford. Saya akan kembali menemui semua peminat sebaik selesai tugasan antarabangsa,” kata pemain berusia 36 tahun itu.
Sementara itu, pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer yang pernah menjadi rakan sepasukan Ronaldo mengakui gembira untuk membawa pulang pemain antarabangsa Portugal ke pasukan tersebut.
“Sukar untuk digambarkan mengenai keperibadian Ronaldo kerana dia sangat istimewa. Tidak semua pemain mampu untuk beraksi di pentas tertinggi bagi tempoh yang lama sepertinya,” ujar beliau. – AGENSI