Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR
PUTRAJAYA – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan peningkatan nilai jualan sebanyak RM3.3 bilion dengan jumlah unit simpanan stok (SKU) melebihi 326,000 tahun lalu, susulan ramai berbelanja secara online.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, peningkatan itu juga disumbangkan pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) sekali gus menyaksikan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, pada tahun 2019, pelaksanaan KBBM mencatatkan nilai jualan sebanyak RM2.87 billion melibatkan sebanyak 279,000 SKU bagi sektor peruncitan dan RM6.84 juta nilai jualan diperoleh melalui portal dalam talian marketplace.
“Portal online marketplace telah mencatatkan peningkatan amat besar pada tahun 2020 berbanding tahun 2019 dengan nilai jualan melebihi RM145 juta.
“Berdasarkan prestasi pada tahun lepas dengan pertambahan kepelbagaian kaedah pendekatan, pelaksanaan KBBM diteruskan sebagai salah satu inisiatif untuk memulih dan merancakkan sektor peruncitan di dalam negara,” katanya dalam ucapan perasmian sempena Majlis Pra-pelancaran KBBM Tahun 2021 yang diadakan secara online, hari ini.
Hasnol Zam Zam berkata, usaha itu adalah bagi membantu usahawan tempatan untuk terus kekal berdaya saing dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa dan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak Mac tahun lalu memberi impak negatif buat kebanyakan perusahaan tempatan yang terkesan dengan penularan wabak tersebut.
“Inisiatif KBBM dilihat mampu meningkatkan permintaan domestik khususnya untuk memperkasa rantaian jaringan bekalan malah dengan kolaborasi bersama sektor peruncitan pada tahun ini, manfaat dinikmati secara terus pengguna melalui penawaran harga istimewa bagi barangan keluaran tempatan.
“Kempen tahun ini terus berkembang dengan pertambahan penglibatan rakan kerjasama strategik daripada sektor peruncitan seperti pasar raya AEON Big, AEON Co., Giant, Mydin, 99 Speedmart, The Store, Hero Supermarket, KK Supermarket, Eco-shop, Lotus Store, Econsave, Lulu Group, TF Value-Mart, Bataras, Petronas dan Shell manakala platform dalam talian pula disertai Shopee, LAZADA dan PGMALL,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929