fbpx

Pernas peneraju industri francais

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Hilaluddin

PETALING JAYA – Dalam menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi disebabkan pandemik, sebarang bentuk bantuan yang dihulurkan untuk meringankan beban ditanggung pastinya amat dialu-alukan.

Menyedari golongan usahawan antara yang terjejas teruk akibat Covid-19, Perbadanan Nasional Bhd. (Pernas) selaku peneraju sektor francais di negara ini memulakan hashtag #caripernas yang mengingatkan usahawan akan kewujudan organisasi yang memayungi dan tempat untuk mereka bergantung harap.

Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd. Hilaluddin Abd. Shukor berkata, aktiviti utama pihaknya adalah membantu usahawan dengan menyediakan ekosistem francais yang lengkap merangkumi pembiayaan, latihan dan konsultasi bagi melahirkan usahawan baharu khususnya dalam bidang francais dan membangunkan perniagaan sedia ada menjadi jenama francais baharu.

“Pada dasarnya, pelanggan kami terbahagi kepada dua golongan, iaitu mereka yang baru mula berjinak-jinak dengan dunia keusahawanan dan usahawan kecil yang berhasrat mengembangkan kapasiti perniagaan mereka, antaranya menerusi sistem francais.

“Kami memiliki pelbagai program bagi memenuhi keperluan kedua-dua golongan ini, antaranya ialah Business In Transformation (BIT) dan Be Your Own Boss (BYOB),” katanya dalam sesi bersama media yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Menurut Mohd. Hilaluddin, sehingga kini sebanyak 142 syarikat daripada pelbagai sektor seperti makanan dan minuman (F&B), peruncitan, perkhidmatan dan pendidikan telah berdaftar dalam program BIT.

Melalui inisiatif berkenaan, Pernas menjadi salah sebuah agensi yang menyokong hasrat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) untuk melahirkan 100 jutawan setiap tahun dalam kalangan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kami memiliki pasukan yang berpengalaman dan mampu melihat potensi sesebuah perniagaan, seterusnya manambah baik kapasiti, sistem serta prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan supaya mereka boleh berkembang lebih jauh sehingga menjadi francaisor.

“Antara peserta BIT yang telah melalui fasa perubahan ialah sebuah perniagaan menjual sengkuang calit, yang mana pada awalnya pengusahanya bermula kecil dengan menjual sengkuang menggunakan meja plastik lipat mudah alih yang dimuatkan dalam kereta Perodua Kancil sebagai mod pengangkutannya ketika berniaga.

“Melihat kepada potensi perniagaannya yang mempunyai ramai peminat sengkuang calit, kami membantu membaiki SOP pengendalian makanan dengan penggunaan meja besi yang juga boleh dilipat supaya lebih bersih, manakala berbanding menggunakan teknik sapuan pada sengkuang, kami menukarkannya kepada penggunaan botol picit, juga atas faktor kebersihan.

“Dengan adanya sistem dan SOP yang mantap, pengusahanya telah mula melesenkan perniagaannya kepada pihak lain untuk berkembang lebih pantas dan kini bisnes tersebut telah memiliki belasan cawangan di sekitar Lembah Klang,” katanya sambil menjelaskan semua khidmat nasihat itu disediakan percuma.

Gloria Jean’s Coffees merupakan salah satu jenama francais di bawah kelolaan Pernas di negara ini.

Menerusi program BYOB pula, Pernas menyasarkan untuk melahirkan 1,000 usahawan baharu tahun ini, dengan sasaran 250 usahawan setiap suku tahun.

Selain membantu menangani isu pengangguran, ia selari dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 yang bertujuan meningkatkan bilangan usahawan berkualiti dan menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

“Peserta program akan menjalani kursus percuma selama empat minggu sebelum mengikuti latihan bersama jenama francais yang diminati mereka selama dua minggu. Sepanjang tempoh tersebut, prestasi mereka akan dinilai sama ada betul-betul berkelayakan untuk menjalankan perniagaan francais.

“Selepas menamatkan latihan, peserta berpeluang mendapatkan pembiayaan untuk memulakan perniagaan francais dengan Pernas pada kadar keuntungan tetap 3.75 peratus setahun. Mereka juga akan dibimbing untuk tempoh enam bulan selepas memulakan perniagaan.

“Anggaran kos latihan yang ditanggung Pernas bagi setiap peserta ialah sekitar RM3,500, melibatkan peruntukan keseluruhan RM3.5 juta,” jelas Mohd. Hilaluddin.

Seiring dengan usaha menggalakkan usahawan beralih ke arah pendigitalan, Pernas juga memiliki platform e-dagang sendiri, Pybli bagi membantu usahawan francais, PKS dan perniagaan mikro memasarkan produk mereka secara online. Platform yang berasaskan web ini memiliki hampir 400 usahawan dan bakal dibangunkan dalam bentuk aplikasi mudah alih.  Pybli juga merupakan sebahagian dari ekosistem francais yang disediakan oleh Pernas.

“Dengan adanya Pybli, usahawan tidak perlu melabur kos yang tinggi untuk membangunkan platform e-dagangnya sendiri dan mengurangkan kos operasi seperti kedai, pekerja, bil dan sebagainya.

“Selain itu, mereka juga boleh menikmati bantuan pemasaran dan latihan percuma, tawaran 0 peratus komisen, pendaftaran percuma dan fi transaksi yang rendah berbanding portal e-dagang yang lain,” katanya.

Menyentuh mengenai bantuan disediakan Pernas sepanjang pandemik, Mohd. Hilaluddin berkata, pihaknya telah melaksanakan program RECURVE yang menawarkan dana kepada usahawan untuk memulihkan perniagaan, melibatkan peruntukan RM20 juta yang memberi manfaat kepada lebih 350 usahawan francais Pernas sedia ada.

Selain itu, Pernas meluluskan moratorium bayaran balik pembiayaan oleh 337 usahawan tahun ini, melibatkan nilai RM9.32 juta.

“Buat mereka yang berminat memulakan perniagaan dalam bidang francais, namun masih ragu-ragu untuk bermula, mulakan langkah pertama dengan #caripernas.

“Kami sedia membantu orang ramai yang ingin bergelar usahawan dan selain ibu pejabat di Bangsar South, kami turut memiliki pejabat satelit di koridor Utara, Pantai Timur dan Selatan Semenanjung serta Sabah dan Sarawak,” katanya.

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI