JOHOR BHARU – Indahraya International Ventures Sdn Bhd. (Indahraya) optimis untuk meluaskan lagi penguasaan pasaran bagi produk roti berjenama Molana di pasaran tempatan dan antarabangsa melalui kerjasama strategiknya dengan Al Shams Bread Manufacturing Sdn. Bhd. (Al Shams Bread)
Melalui kerjasama tersebut, Indahraya kini memiliki kepentingan Al Shams Bread sebanyak 40 peratus.
Al Sham Bread adalah antara pengeluar utama roti di bawah jenama Molana sejak tahun 2010 dengan keluaran produk popularnya iaitu capati untuk pasaran Singapura.
Produk lain keluaran syarikat adalah paratha pastri sejuk beku.
Ketua Pegawai Eksekutif Indahraya, Roslin Abd. Rahman berkata, usaha sama tersebut bakal menjadi pemangkin kepada inisiatif memperkasakan keupayaan syarikat untuk kekal relevan dan berdaya saing bagi menyediakan makanan halal kepada pelanggan.
“Kapasiti pengeluaran sedia ada kini adalah sebanyak 1.5 juta keping roti. Maka, melalui usaha sama ini, syarikat berharap dapat meningkatkannya sebanyak tiga kali ganda,” katanya.
Beliau berkata pada majlis menandatangani pembelian ekuti antara kedua-dua syarikat tersebut di kilang Al Shams Bread di Tampoi semalam.
Turut hadir Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Dr. Nooh Gadut dan Pengarah Pengeluaran Al Shams, Dr. Rahim Zalizadeh.