JAGUH lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli wajar diberikan penghargaan atas kerja keras serta pengorbanan yang diberikan selama ini untuk beraksi pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) memohon pertimbangan kerajaan untuk memberikan ganjaran sewajarnya kepada Ziyad biarpun pingat emas yang dimenanginya kelmarin ditarik balik.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman menjelaskan, perkara itu penting selepas kemenangan Ziyad dalam acara lontar peluru F20 dibatalkan gara-gara protes yang dilakukan oleh kem Ukraine.
“Saya memohon pertimbangan kerajaan supaya dapat memberikan ganjaran sewajarnya atau bersesuaian dengan jasa dan pencapaian luar biasa Ziyad pada Sukan Paralimpik Tokyo bagi menghargai pengorbanannya selama ini.
“Bagi pihak kontinjen negara, saya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas isu yang terjadi,” kata beliau yang juga ketua kontinjen Malaysia di Tokyo menerusi sidang akhbar secara maya semalam.
Kem Malaysia melakukan yang terbaik untuk melakukan rayuan berhubung penarikan semula pingat emas dimenangi Ziyad, namun ditolak oleh panel juri Paralimpik Tokyo.
Pada masa sama, beliau turut berjanji akan cuba sedaya upaya memperjuangkan nasib pemenang pingat emas Paralimpik Rio 2016 sebaik sahaja temasya tersebut berakhir hujung minggu ini.
“MPM masih belum berputus asa dan akan membawa perkara ini ke Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) serta Olahraga Para Dunia, namun ia hanya boleh dilakukan selepas temasya tamat,” katanya.
Sementara itu, Megat juga sudah bertemu dengan Ziyad dan mengakui, atlet kelahiran Selangor itu dilihat berlapang dada dengan keputusan yang tidak menyebelahinya.