SEREMBAN – Mesej tular di laman media sosial berkaitan pemberian vaksin secara walk-in dan percuma kepada warga asing di Kompleks Dewan Komuniti Pantai Seremban dari 1 hingga 3 September ini sejak semalam adalah palsu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri S. Veerapan berkata, Kerajaan Negeri memandang serius perkara tersebut yang disebarkan individu atau kumpulan tertentu yang tidak bertanggungjawab sehingga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Bagaimanapun menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan sememangnya mengadakan program ‘outreach’ di Mukim Pantai, Seremban selama tiga hari bermula semalam hingga esok.
“Program outreach ini diadakan atas sebab tertentu seperti masalah jalur internet yang kurang memuaskan, tahap pendidikan, tidak mempunyai alat komunikasi untuk mendaftar ataupun akses internet.
“Oleh itu, program outreach telah dilaksanakan dan akan membantu mencapai sasaran imunuiti berkelompok secepat mungkin di Negeri Sembilan. Mesej yang tular berkenaan adalah tidak tepat dan palsu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Veerapan berkata, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban juga menafikan tidak membuat sebarang bentuk hebahan mengenai isu yang ditimbulkan serta sedang menyiasat maklumat pemberian vaksin percuma kepada warga asing.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929