PUTRAJAYA – Kerajaan wajar mempertimbangkan pemberian ganjaran atau penghargaan buat atlet paralimpik negara, Ziyad Zolkefli di atas pencapaiannya pada temasya Paralimpik Tokyo 2020 bagi memastikan semangatnya tidak luntur selepas kemenangannya meraih pingat emas dibatalkan susulan masalah teknikal.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, secara prinsip dan peribadi, pencapaian yang diraih Ziyad amat perlu dipertimbangkan dengan pemberian ganjaran tertentu.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut melahirkan kekecewaan terhadap keputusan yang dibuat oleh Olahraga Para Dunia (WPA) dan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang disifatkan telah menafikan kejayaan Ziyad dengan menolak rayuan yang dikemukakan Malaysia.
“Dia (Ziyad) telah melakukan lontaran dan telah berjaya mencatatkan rekod dunia, ini bukan masalah teknikal tetapi pencapaian dan ia perlu diraikan,” katanya pada sidang akhbar sulungnya di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini.
Terdahulu Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin memohon pertimbangan kerajaan agar memberikan ganjaran sewajarnya kepada Ziyad selepas pingat emas yang dimenangi atlet itu di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, semalam ditarik balik.
Berdasarkan pemberian imbuhan semasa, atlet negara yang memenangi pingat emas di Sukan Olimpik dan Paralimpik akan menerima wang tunai RM1 juta di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dan pencen bulanan RM5,000.
Pemenang pingat perak menerima RM300,000 dan pencen bulanan RM3,000 manakala pemenang pingat gangsa menerima RM100,000 serta pencen sebanyak RM2,000 sebulan.
Selasa lalu, impian Malaysia meraih pingat emas kedua pada temasya Paralimpik Tokyo melalui acara lontar peluru F20 menerusi Ziyad yang sudahpun mencatatkan rekod dunia ditarik balik ekoran bantahan dari Ukraine dengan mendakwa Ziyad lewat tiba di call room. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929