fbpx

Ibu setia tunggu anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SENAH (kanan) mencium baju dipakai anak bongsunya yang dikhuatiri lemas di Sungai Dungun, Dungun semalam.

DUNGUN – Seorang ibu menanti anak bongsunya, Ahmad Firdaus Afiq Che Yusof, 21, yang dikhua­tiri lemas di Sungai Dungun berhampiran Kampung Tok Kah di sini kelmarin dengan penuh sabar meskipun sudah 24 jam lelaki itu dihanyutkan arus.

Ahmad Firdaus yang mendirikan rumah tangga sembilan bulan lalu dibawa arus deras ketika mandi bersama lima lagi rakannya di sungai berkenaan pada pukul 3.30 petang.

Ibu mangsa, Senah Ismail, 62, berkata, dia bersedia menerima sebarang kemungkinan yang bakal menimpa anaknya itu, namun amat berharap Ahmad Firdaus ditemui semula walaupun hanya jasad.

“Saya begitu rapat dengan dia (Ahmad Firdaus) dan kami tidak pernah berpisah. Dia memutuskan untuk tinggal bersama saya walaupun sudah berkahwin,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian semalam.

Cerita Senah, sebelum kejadian, Ahmad Firdaus tergesa-gesa menunaikan solat zuhur sebelum keluar dari rumah mereka di Kampung Alor Mak Bah di sini untuk berkelah bersama rakan-rakan di Sungai Dungun.

Ahmad Firdaus juga tidak sempat menjamah hidangan te­ngah hari pada hari kejadian.

“Tidak lama kemudian, saya dapat panggilan telefon memaklumkan berlaku kejadian lemas semasa mahu menyuap nasi (makan tengah hari) bersama menantu perempuan,” katanya.

OPERASI pencarian Ahmad Firdaus pada hari kedua semalam diperluaskan ke kawasan Kuala Dungun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah membe­ritahu, semasa kejadian, Ahmad Firdaus dikatakan sedang leka mandi-manda di sungai tersebut bersama lima rakan.

Beliau berkata, ketika kejadian, Ahmad Firdaus dan seorang lagi rakan, Mohd. Zulfadzli Mohd. Asmadi, 21, tiba-tiba dibawa arus deras menyebabkan yang lain menjerit meminta pertolongan.

“Mohd. Zulfadzli dapat di­selamatkan, namun Ahmad Firdaus pula hilang dibawa arus.

“Gerakan mencari dan menyelamat mangsa yang memasuki hari kedua diperluas sehingga ke Kuala Dungun dengan menggunakan teknik selaman serta pencarian di permukaan.

“Operasi agak mencabar kerana air keruh dan arus deras menyukarkan penglihatan penyelam,” kata beliau.

Lima buah bot dan dua anjing pengesan turut digunakan dalam operasi tersebut. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI