IBU bapa adalah insan penting yang menggalas tanggungjawab untuk menjaga dan mendidik anak-anak agar mereka membesar menjadi insan mulia dan berjaya di dunia serta akhirat.
Namun, saban hari ada sahaja cerita yang kurang sedap didengar tentang salah laku ibu bapa terhadap anak-anak mereka dan antara isu paling menyedihkan ialah dirogol oleh bapa kandung.
Lelaki bergelar bapa sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anaknya, tetapi sanggup ‘membaham’ darah daging sendiri demi kepuasan nafsu syaitan.
Baru-baru ini ada seorang wanita berkongsi di laman sosialnya mengenai kisah dua beradik yang dirogol oleh ayah kandung mereka.
“Saya berasa sangat terganggu dan sedih apabila seorang kakak mengadu yang dia dan adiknya telah dirogol oleh ayah kandung mereka sendiri.
“Anak gadis itu mengakui perkara tersebut terjadi kerana mereka tidur bersama ibu dan ayah sejak kecil,” ceritanya.
Jelas wanita itu, ibu mereka seolah-olah tidak mahu membela nasib anak gadisnya dan hanya mendiamkan diri apabila diceritakan perbuatan terkutuk si ayah.
Demikian secebis kisah pahit dua beradik perempuan yang diperlakukan dengan kejam oleh ibu bapa kandung mereka.
Pensyarah Program Sains Pembangunan, Fakulti Sains dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Suhana Saad berkata, perbuatan terkutuk itu meruntuhkan institusi kekeluargaan dan menghancurkan masa hadapan anak-anak.
“Perbuatan keji ini akan menyebabkan anak-anak mengalami trauma yang sangat teruk dan memberi kesan emosi jangka panjang terutama ketika mencari pasangan dan berkeluarga kelak.
“Lebih menyedihkan, di usia kanak-kanak mereka terlalu mentah untuk menilai baik buruk sesuatu perkara sehingga tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya.
Jelasnya, institusi pendidikan perlu memandang serius isu itu dan mendidik mereka mengenai batas-batas tertentu serta membuka ruang kepada pelajar membuat aduan mengenai salah laku
ibu bapa.
Selain itu, peranan masyarakat secara keseluruhan juga sangat penting seperti jiran tetangga dan kawan-kawan untuk membantu mereka keluar daripada masalah tersebut.
“Jika tidak dibantu dan diberi bimbingan, dikhuatiri mereka akan merasakan perbuatan tersebut bukanlah suatu kesalahan serta melakukan hal serupa apabila berkeluarga kelak,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan si ibu yang mendiamkan diri terhadap perbuatan terkutuk suami, Suhana berkata, berkemungkinan dia bimbang akan hilang punca pendapatan jika lelaki
itu ditangkap.
Dalam mendepani masalah keruntuhan institusi keluarga itu, Suhana memberitahu, pegangan agama dan iman adalah perkara asas yang sangat penting.
Ujarnya, pegangan agama yang kukuh akan mencegah seseorang itu daripada melakukan perbuatan jijik kepada darah daging mereka sendiri.
“Islam juga memberi garis panduan bahawa anak-anak yang sudah menginjak usia 10 tahun perlu dipisahkan tempat tidur mereka sama ada berlainan jantina mahupun ibu bapa.
“Bilik tidur ibu bapa seharusnya menjadi ruang peribadi dan anak-anak perlu meminta izin terlebih dahulu sekiranya ingin masuk ke situ,” katanya. – K! ONLINE