fbpx

Durian runtuh menanti Chew Wei Lun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wei Lun

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor sedang meneliti pemberian penghargaan buat atlet paralimpik negara, Chew Wei Lun yang muncul pemenang pingat perak menerusi acara boccia individu campuran BC1, di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Muhammad berkata, kejayaan anak Johor itu akan dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri minggu depan untuk dipertimbangkan pemberian penghargaan yang sesuai buatnya.

“Walaupun dia tidak tersenarai sebagai potensi penerima pingat, tetapi Alhamdulillah dia berjaya menghadiahkan pingat perak buat negara, dan untuk itu kerajaan negeri ingin memberikan penghargaan kepadanya.

“Perkara ini akan saya bangkitkan dalam mesyuarat kerajaan minggu depan untuk ditetapkan apakah bentuk bantuan boleh diberi, tetapi percayalah ia sesuatu yang setimpal dengan sumbangan kepada negara,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan Tinjauan Kerja ke Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Penyerahan Komputer Riba di Jabatan Pendidikan Negeri Johor, di sini hari ini.

Hasni berkata, pemberian penghargaan itu mungkin akan diumumkan ketika Sidang DUN Johor bersambung nanti.

Terdahulu, atlet boccia negara kelahiran Johor Bahru itu hampir melakar kejutan apabila memenangi pingat perak dalam acara campuran individu BC1 yang berlangsung di Pusat Gimnastik Ariake semalam.

Turun menentang pemain nombor satu dunia dari Britain, Adam Smith langsung tidak menggusarkan Wei Lun apabila memberi tentangan sengit sebelum tewas 2-4 (2-0, 0-1, 0-1, 0-2).

Biarpun tewas, namun atlet berusia 26 tahun itu mengejutkan Smith pada awal saingan apabila mendahului 2-0 pada set pertama sebelum lawannya itu melakukan kebangkitan dalam tiga set berikutnya.-K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI