KUANTAN – Corak permainan yang terlalu banyak bergantung kepada individu berbanding bermain secara pasukan menjadi alasan skuad Sri Pahang FC gagal meraih tiga mata di laman sendiri dalam perlawanan tertunda Liga Super, malam tadi.
Pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, walaupun skuad bimbingannya banyak kali menyerang namun mereka gagal mencipta peluang untuk menjaringkan gol.
“Kita banyak bergantung kepada individu daripada bermain sebagai satu pasukan, saya lihat banyak berlaku hanya seorang sahaja dalam kotak penalti untuk melawan tiga hingga empat pemain Kedah, macam mana kita mahu menjaringkan gol.
“Kemungkinan pemain terlalu ingin menang sehingga corak permainan mereka lebih kepada individu,”katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu di Stadium Darul Makmur, di sini malam semalam.
Dollah berkata, dia mengakui terkilan kerana menginginkan pasukannya meraih tiga mata namun tetap bersyukur dengan keputusan seri itu.
Katanya, keputusan seri ini meletakkan kedudukan Sri Pahang belum lagi selamat untuk kekal berada dalam Liga Super pada musim depan dan baki dua perlawanan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Saya berharap sangat pada perlawanan menentang Pulau Pinang, kita dapat menurunkan kesebelasan yang terbaik kerana beberapa perlawanan sebelum ini agak terumbang ambing dengan meletakkan pemain yang cedera.
“Malah pada perlawanan malam ini (malam semalam) pun kita terpaksa juga letak pemain yang cedera atau baru pulih dari kecederaan dalam kesebelasan utama disebabkan pengalaman mereka,”ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929